Covid19: Rakyat Malaysia meninggal dunia di London

Covid19: Rakyat Malaysia meninggal dunia di London

KUALA LUMPUR: Antara rakyat Malaysia yang paling awal berhijrah ke London, Husin Long, disahkan positif COVID-19, meninggal dunia di Hospital Royal Free, Hampstead, pada Ahad lalu.

Allahyarham Husin, 75 tahun, selamat dikebumikan sekitar jam 2 petang Selasa waktu tempatan di tanah perkuburan Gardens of Peace yang hanya membenarkan 10 orang untuk menghadirinya.

Beliau disahkan meninggal dunia setelah menerima rawatan di hospital berkenaan selama dua hari.

Menurut seorang ahli keluarganya ketika dihubungi Astro AWANI, Husin mengalami simptom koronavirus kira-kira empat hari sebelum pemergiannya.

Namun, hasil keputusan positif COVID-19 berkenaan hanya diterima oleh keluarganya selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia.

Beliau turut mengalami penyakit lain sejak sekurang-kurangnya 20 tahun yang lalu.

Husin berhijrah ke London pada 1970 bersama beberapa rakannya selepas berkhidmat di pangkalan tentera laut British di Singapura sejak 1948.

Susulan perkhidmatannya bersama tentera laut, Allahyarham yang turut berkemahiran sebagai jurutera, bekerja di hotel The Dorchester, London sehingga persaraannya pada 2005.

Allahyarham pernah menyertai Kelab Melayu London yang ditubuhkan oleh diaspora Malaysia di bandar itu sejak 1960an.

Kelab tersebut dalam satu muat naik di Facebook juga menyediakan nombor akaun bank milik isterinya sekiranya orang ramai ingin menyalurkan bantuan kewangan bagi persiapan pengebumian Allahyarham.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )