Masjid sekitar Perak bantu masyarakat yang terjejas

Masjid sekitar Perak bantu masyarakat yang terjejas

IPOH: Masjid di sekitar Perak terus menghulurkan sumbangan kepada golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, antara masjid yang turut bersama-sama menghulurkan bantuan kepada ahli kariah yang memerlukan khususnya di kawasan Taman Cempaka.

Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan berkata, inisiatif tersebut dilakukan sebagai menyokong saranan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin bagi mengurangkan beban ditanggung keluarga yang kehilangan sumber pendapatan.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan berupa barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung, telur dan beberapa barangan lain dengan nilai RM100 hingga RM150.

“Pihak masjid sebenarnya banyak menjalankan program pemberian sumbangan seperti ini namun tidak diuar-uarkan kepada umum. Dakwaan sesetengah pihak bahawa masjid ini tidak membantu sebenarnya tak betul.

“Sumbangan yang kita berikan ini menggunakan dana masjid selain sumbangan daripada orang ramai yang prihatin dengan keadaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Katanya, sumbangan tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan serta jumlah dana yang ada.

Bagi penerima sumbangan, Syaharuddin Yeub, 46, yang bekerja sebagai peniaga berkata, sumbangan tersebut melegakannya sekeluarga yang terkesan akibat pelaksanaan PKP itu ditambah lagi dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Menurutnya, sumbangan tersebut perlu diteruskan bagi membantu golongan memerlukan di sekitar masjid.

Bagi pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO), Amira Adila Khazhirom, 20, sumbangan itu turut membantu pelajar yang tidak pulang ke kampung.

“Biarpun terdapat bantuan diberikan oleh pihak PUO, inisiatif yang diusahakan pihak masjid sangat bermakna kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Masjid Toh Puan Besar Hatijah Batu Gajah turut mengagihkan keperluan makanan harian kepada golongan yang memerlukan di sekitar Batu Gajah.

Mereka yang menerima bantuan tersebut adalah dalam kalangan fakir miskin, ibu tunggal, dan golongan kurang berkemampuan yang sangat terjejas akibat PKP.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )