MB Perak potong gaji dua bulan

MB Perak potong gaji dua bulan

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut memotong dua bulan gajinya bagi disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

Ahmad Faizal berkata, keputusan itu diambil untuk membantu golongan memerlukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Saya memutuskan untuk memotong dua bulan gaji sebagai Menteri Besar bagi disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Ia selaras dengan keputusan kabinet untuk memotong dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan di Ipoh, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan badan korporat dan pihak swasta untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Kerajaan negeri akan mengkaji inisiatif bantuan khas tambahan bagi memastikan nasib golongan sasar mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, beliau mengulangi rayuan kepada semua rakyat untuk mematuhi PKP dengan duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja serta mengamalkan jarak sosial.

“Sekali lagi, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar semua rakyat Perak untuk bersatu hati dan memberikan kerjasama bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Kita perlu merasa bimbang kerana daerah Hilir Perak dan Kinta sudah diklasifikasikan sebagai Zon Merah,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )