Sediakan SOP, NGO perlu diiktiraf untuk bersama berkhidmat

Sediakan SOP, NGO perlu diiktiraf untuk bersama berkhidmat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim menyambut baik usaha pihak kerajaan memperketatkan semua aktiviti termasuklah penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan kebajikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya yakin tindakan tersebut adalah salah satu usaha kerajaan untuk menyekat penularan wabak tersebut dalam kalangan masyarakat.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, Serantau Muslim yang merupakan salah satu badan yang bergiat aktif menyampaikan sumbangan sepanjang PKP ini berpandangan, NGO-NGO dan badan-badan kebajikan juga perlu terus diberi peluang untuk sama-sama berkhidmat kepada masyarakat.

Malah katanya kebanyakan NGO termasuk Serantau Muslim telah lama memberi khidmat bakti kepada masyarakat hatta sebelum timbulnya pandemik wabak ini melanda.

“Kami mencadangkan agar gerak kerja, sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan oleh NGO-NGO dan badan kebajikan melalui sukarelawannya tidak disekat dan dihalang.

“Sebaliknya kami mencadangkan kerajaan hanya memperketatkan syarat-syarat kepada semua NGO dan badan-badan kebajikan yang ingin menjalankan sebarang aktiviti.

“Kerajaan juga boleh menyediakan S.O.P yang sepatutnya yang perlu diikuti oleh NGO demi keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara cadangan yang Serantau Muslim kemukakan ialah, setiap NGO yang ingin menjalankan apa jua program mahupun agihan bantuan mestilah berdaftar dengan pihak berkaitan sama ada pejabat daerah, polis mahupun kementerian kesihatan.

Setiap sukarelawan juga katanya mestilah membuat saringan kesihatan setiap hari sebelum menjalankan aktiviti dan program agar mereka bebas daripada wabak Covid19.

“Peranan NGO dalam keadaan sekarang ini adalah sangat penting dan wajar diiktiraf untuk sama-sama berkhidmat. Tidak siapa mampu menafikan peranan besar NGO selaku pihak ketiga ini dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

“Oleh yang demikian kami berharap pihak kerajaan dapat mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil NGO untuk kita sama-sama mencari kaedah yang terbaik dalam hal ini,” katanya

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )