Ingkar PKP: 13 ditahan solat berjemaah di masjid di Bagan Serai

Ingkar PKP: 13 ditahan solat berjemaah di masjid di Bagan Serai

BAGAN SERAI: Seramai 13 orang ditahan pihak berkuasa kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menunaikan solat Isyak berjemaah di sebuah masjid di Telok Medan di sini kelmarin.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai, Mokhlis Husain berkata, mereka ditahan selepas pemantauan dilakukan pihaknya dengan kerjasama anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Menurutnya, majoriti kumpulan jemaah yang ditahan berumur pertengahan usia dan merupakan penduduk sekitar.

“Mereka ditahan selepas selesai menunaikan solat antara pukul 9 hingga 9.30 malam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Difahamkan kesemua mereka telah dirakam percakapan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya lapor Perak Gazette.

Menurut Mokhlis, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di surau dan masjid di kawasan pedalaman sepanjang tempoh PKP dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya masih ada jemaah yang ingkar arahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi keputusan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sepanjang tempoh PKP,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )