Kontak rapat kes positif COVID-19 ditempatkan di stesen kuarantin ILSM Sungkai

Kontak rapat kes positif COVID-19 ditempatkan di stesen kuarantin ILSM Sungkai

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menempatkan kontak rapat kes positif kluster COVID-19 di daerah Hilir Perak ke Stesen Kuarantin Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai, Perak, dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebooknya, berkata tujuan Stesen Kuarantin ILSM itu diwujudkan adalah bagi mengasingkan individu yang berisiko dijangkiti atau menjangkiti individu yang lain.

“Stesen Kuarantin ILSM merupakan sebuah fasiliti pengajian yang sangat selesa dan terletak di kawasan sendiri, yang dikelilingi dengan taman hijau dan segar, serta fasiliti ini juga memenuhi kriteria untuk kawalan penyakit berjangkit.

“Individu yang berisiko ditempatkan dalam bilik berseorangan yang selesa dan lengkap dengan kemudahan seperti tandas, cerek, wifi, kelengkapan pembersihan diri, cecair pembasmi kuman dan termometer dahi serta makan disediakan empat kali sehari di samping makanan ringan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang individu yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di situ, pemantauan kesihatan akan dijalankan setiap hari oleh pasukan perubatan, dengan sebarang gejala awal COVID-19 atau masalah kesihatan yang lain boleh dikesan awal dan ditangani dengan segera.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )