Tiada tempoh tertentu untuk lantik Exco, kata Peja

Tiada tempoh tertentu untuk lantik Exco, kata Peja

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini berkata tiada tempoh tertentu untuk melantik barisan exco meskipun beliau telah dilantik sebagai menteri besar Perak pada 13 Mac lalu.

Ini kerana, katanya, berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri tiada tempoh tertentu untuk melantik barisan exco.

Sehubungan itu, beliau berkata meskipun tiada exco namun kerajaan negeri masih dapat berfungsi sepenuhnya memandangkan kerja pentadbiran dilaksana oleh ketua jabatan masing-masing.

Beliau berkata, ketua jabatan boleh menjalankan kerja mereka berdasarkan undang-undang berkaitan.

“Di bawah Undang-undang Tubuh Negeri, tiada tempoh tertentu untuk melantik.

“Dengan kerjasama erat daripada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh anggota pentadbiran, menteri besar dapat mengemudi operasi pentadbiran dengan lancar.

“Tambahan pula, sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan), operasi pentadbiran berkisar di bilik gerakan dan urusan seharian tertumpu perihal perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, lapor Malaysiakini.

Pada 13 Mac lalu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik semula Faizal sebagai menteri besar negeri yang ke-13 selepas beliau meletakkan jawatan pada 10 Mac ekoran kerajaan Pakatan Harapan tumbang di Perak.

Dalam perutusan sama, Faizal berkata pelantikan exco akan dilakukan selepas PKP ditarik balik.

“Dengan izin Allah, apabila wabak Covid-19 dapat dikawal bagi membolehkan perintah kawalan pergerakan ditarik balik, kita tentunya akan dapat meneruskan proses lantikan barisan exco.

“Tumpuan utama buat masa ini adalah bagi memastikan kemenangan melawan penularan wabak merbahaya ini,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )