Hari ini baba angkat sumpah Exco, kata anak Razman

Hari ini baba angkat sumpah Exco, kata anak Razman

Pagi ini Baba ke Istana Kinta untuk mengangkat sumpah sebagai exco Kerajaan Perak.

Dalam urusan pelantikan politik, Baba selalu sebut mengenai al-Marhum Tuan Guru Harun Din, ketika al-Marhum dipilih oleh PAS untuk bertanding pilihanraya.

Al-Marhum mohon kepada anak-anak muridnya, para penuntut Darussyifa’, agar mendoakan, sekiranya ada kebaikan untuk dunia dan akhirat maka menangkanlah beliau dalam pilihanraya. Sekiranya sebaliknya, maka mohon dijauhkanlah.

Tarbiyah PAS mengajar jawatan dan pangkat bukan tasyrif (kemuliaan), bahkan ia taklif (bebanan).

Apa maksudnya?

Sekiranya dengan jawatan dan pangkat ahli dunia, seseorang itu menjadi Namrud, Firaun, Haman, Abu Lahab, menjadi makhluk mal’un (dilaknati) sekelian alam, berbaloikah? Kerana nikmat jawatan itu sementara, laknat itu selamanya.

Islam mengajarkan, dengan jawatan dan pangkat ahli dunia (saya sebut ahli dunia kerana ia menjadi rebutan ramai sedangkan pangkat ahli akhirat, golongan yang Allah SWT kurnia nikmat ke atas mereka, berapa ramai yang bersungguh?), jadikanlah ia wasilah untuk mendekatkan diri kepada Khaliq melalui khidmat kepada makhluk.

Jadilahkanlah golongan yang Allah SWT kurniakan nikmat ke atas mereka, (الذين أنعمت عليهم) sebagai uswah hasanah (teladan yang baik), agar tetap berada di atas shiratul mustaqim.

Uswah hasanah, seperti Nabi Yusuf AS ketika Baginda AS berkata:

(قَالَ ٱجۡعَلۡنِی عَلَىٰ خَزَاۤىِٕنِ ٱلۡأَرۡضِۖ إِنِّی حَفِیظٌ عَلِیمࣱ)
[Surat Yusuf 55]
Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

seperti Thalut:

(وَقَالَ لَهُمۡ نَبِیُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكࣰاۚ قَالُوۤا۟ أَنَّىٰ یَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَیۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ یُؤۡتَ سَعَةࣰ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَیۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةࣰ فِی ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ یُؤۡتِی مُلۡكَهُۥ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ)
[Surat Al-Baqarah 247]
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.

seperti Nabi Daud AS:

(یَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِیفَةࣰ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَیُضِلَّكَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَضِلُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابࣱ شَدِیدُۢ بِمَا نَسُوا۟ یَوۡمَ ٱلۡحِسَابِ)
[Surat Sad 26]

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Seperti Nabi Sulaiman AS:

(وَلَقَدۡ ءَاتَیۡنَا دَاوُۥدَ وَسُلَیۡمَـٰنَ عِلۡمࣰاۖ وَقَالَا ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِی فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِیرࣲ مِّنۡ عِبَادِهِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ۝ وَوَرِثَ سُلَیۡمَـٰنُ دَاوُۥدَۖ وَقَالَ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ عُلِّمۡنَا مَنطِقَ ٱلطَّیۡرِ وَأُوتِینَا مِن كُلِّ شَیۡءٍۖ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡمُبِینُ)
[Surat An-Naml 15 – 16]

15- Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman”.

16- Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”.

Seperti Zulkarnain:

(قَالُوا۟ یَـٰذَا ٱلۡقَرۡنَیۡنِ إِنَّ یَأۡجُوجَ وَمَأۡجُوجَ مُفۡسِدُونَ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰۤ أَن تَجۡعَلَ بَیۡنَنَا وَبَیۡنَهُمۡ سَدࣰّا ۝ قَالَ مَا مَكَّنِّی فِیهِ رَبِّی خَیۡرࣱ فَأَعِینُونِی بِقُوَّةٍ أَجۡعَلۡ بَیۡنَكُمۡ وَبَیۡنَهُمۡ رَدۡمًا)
[Surat Al-Kahf 94 – 95]

94- Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

95- Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

Seperti teladan teragung, Rasulullah SAW:

(وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِیمࣲ)
[Surat Al-Qalam 4]
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

(لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا)
[Surat Al-Ahzab 21]
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Dengan ujian jawatan dan pangkat keduniaan, yang berjaya akan bersama golongan yang dikurniakan nikmat ke atas mereka (الذين أنعمت عليهم), ataupun termasuk dalam golongan yang dimurkai ataupun sesat (المغضوب عليهم ولا الضالين).

Kepada Allah SWT kami berdoa, agar Baba, pimpinan yang dilantik, dan kita semua digolongkan bersama golongan yang dikurniakan nikmat ke atas mereka, iaitu golongan:

(وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا لِیُطَاعَ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ وَلَوۡ أَنَّهُمۡ إِذ ظَّلَمُوۤا۟ أَنفُسَهُمۡ جَاۤءُوكَ فَٱسۡتَغۡفَرُوا۟ ٱللَّهَ وَٱسۡتَغۡفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُوا۟ ٱللَّهَ تَوَّابࣰا رَّحِیمࣰا ۝ فَلَا وَرَبِّكَ لَا یُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ یُحَكِّمُوكَ فِیمَا شَجَرَ بَیۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا یَجِدُوا۟ فِیۤ أَنفُسِهِمۡ حَرَجࣰا مِّمَّا قَضَیۡتَ وَیُسَلِّمُوا۟ تَسۡلِیمࣰا ۝ وَلَوۡ أَنَّا كَتَبۡنَا عَلَیۡهِمۡ أَنِ ٱقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ أَوِ ٱخۡرُجُوا۟ مِن دِیَـٰرِكُم مَّا فَعَلُوهُ إِلَّا قَلِیلࣱ مِّنۡهُمۡۖ وَلَوۡ أَنَّهُمۡ فَعَلُوا۟ مَا یُوعَظُونَ بِهِۦ لَكَانَ خَیۡرࣰا لَّهُمۡ وَأَشَدَّ تَثۡبِیتࣰا ۝ وَإِذࣰا لَّـَٔاتَیۡنَـٰهُم مِّن لَّدُنَّاۤ أَجۡرًا عَظِیمࣰا ۝ وَلَهَدَیۡنَـٰهُمۡ صِرَ ٰ⁠طࣰا مُّسۡتَقِیمࣰا ۝ وَمَن یُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ مَعَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ وَٱلصِّدِّیقِینَ وَٱلشُّهَدَاۤءِ وَٱلصَّـٰلِحِینَۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ رَفِیقࣰا ۝ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡفَضۡلُ مِنَ ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ عَلِیمࣰا)
[Surat An-Nisa’ 64 – 70]

64- Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

65- Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

66- Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).

67- Dan (setelah mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka – dari sisi Kami – pahala balasan yang amat besar;

68- Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.

69- Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang Siddiqiin, dan orang yang Syahid, serta orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat).

70- Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya).

Semoga Allah SWT kurniakan kekuatan, taufiq, hidayah dan ‘inayah kepada Baba dan seluruh kepimpinan untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaiknya.

 

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN adalah anak kepada ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )