PKP: 48 kes tipu jual penutup hidung dan mulut di Perak

PKP: 48 kes tipu jual penutup hidung dan mulut di Perak

IPOH: Sebanyak 48 kes penipuan membabitkan penjualan penutup hidung dan mulut dengan nilai kerugian dianggar sebanyak RM39,322 dilaporkan di Perak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Perak Supt Hasbullah Abd Rahman berkata antara faktor berlaku banyak kes penipuan membabitkan barangan itu adalah kerana permintaan tinggi susulan penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata kesemua kes penipuan yang berlaku disebabkan pengadu tertarik dengan tawaran untuk mendapatkan penutup hidung dan mulut di media sosial.

“Pengadu kemudiannya membuat pembayaran secara dalam talian kepada orang-orang yang dianggap sebagai penjual, tetapi apabila barangan yang ditempah tidak sampai, pengadu berasa diperdaya dan seterusnya membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasbullah berkata kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihati masyarakat supaya berhati-hati, jangan mudah terpedaya dengan iklan dan tawaran pembelian penutup hidung dan mulut melalui media sosial serta laman sesawang beli-belah.

“Pergantungan orang ramai terhadap pembelian dalam talian yang tinggi menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan mudah dengan menipu pembeli yang memerlukan barangan itu,” katanya.

BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )