Hotel Tower Regency ditutup, 140 pekerja hilang mata pencarian

Hotel Tower Regency ditutup, 140 pekerja hilang mata pencarian

IPOH: Kira-kira 140 pekerja Tower Regency Hotel & Apartments di Ipoh akan kehilangan pekerjaan mereka susulan penutupan operasinya pada 30 April.

Malaysiakini melaporkan, memo dalaman berhubung penutupan hotel itu mula tersebar di media sosial dan dikongsi oleh bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu hantaran di Facebook.

Seorang pengurus hotel, yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini bahawa dia terkejut dengan penjelasan yang diberikan dalam memo itu kerana para pekerja tidak pernah diberi taklimat mengenai masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat itu.

“Memang benar bahawa wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah antara sebab-sebab (di sebalik masalah kewangan) tetapi selama ini syarikat tidak pernah memberitahu kami bahawa ia mengalami kerugian.

“Tidak ada notis untuk memaklumkan kepada pekerja bahawa syarikat sedang bergelut. Sekarang semua pekerja, kira-kira 140 daripada kami akan diberhentikan,” kata pengurus itu.

Beliau menambah bahawa pekerja diberitahu oleh pihak hotel mengenai keputusan untuk menutup operasinya menerusi WhatsApp.

Para pekerja dijangka kembali bekerja selepas PKP berakhir pada 14 April.

Akhbar The Star memetik pengarah urusan hotel itu, Simon Leong sebagai berkata selain Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), industri hotel juga telah terjejas oleh “persaingan yang tidak adil”.

“Industri hotel telah terjejas teruk oleh persaingan yang tidak adil dari homestay dan penginapan tidak terkawal lain untuk sekian lama.

“Jenis penginapan seperti ini hanya tertakluk kepada syarat minimum, jika ada pun pematuhan ia hanya bermakna kos minimum kepada mereka,” katanya.

Memo dalaman hotel itu mendakwa bahawa sejak tiga tahun lalu, Tower Regency menanggung kerugian berjuta-juta ringgit dalam cubaan untuk bertahan dalam perniagaan.

Pihak pengurusan menambah bahawa wabak Covid-19 telah memburukkan keadaan semasa hotel tetapi memberi jaminan bahawa pekerja akan menerima gaji mereka dan pampasan atau faedah pemberhentian pekerja selaras dengan peruntukan undang-undang.

Hotel ini telah beroperasi sejak Januari 2009.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata MAH masih belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi dari hotel itu.

“Kami tidak dapat mengesahkan (penutupan itu) sehingga hotel menghantar pemberitahuan rasmi kepada kami,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan pada 27 Mac, MAH berkata bahawa 2,041 kakitangan industri perhotelan telah dihentikan kerana tekanan ekonomi dan PKP.

Ini sebagai tambahan kepada 9,773 yang diberikan cuti tanpa gaji manakala gaji 5,054 yang lain terpaksa dipotong .

MAH menjangkakan angka-angka itu akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )