Mujahid borong hasil nelayan dan petani, agih kepada masyarakat

Mujahid borong hasil nelayan dan petani, agih kepada masyarakat

IPOH: Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nelayan dan petani adalah antara pihak yang sengsara apabila pemborong tidak dapat membeli hasil tangkapan dan tuaian mereka.

Hasilnya sebahagian dari mereka terpaksa membuang hasil tangkapan manakala sayur-sayuran yang ditanam terpaksa dibuang begitu saja.

Sebahagiannya pula terpaksa memberikan hasil usaha mereka selama ini secara percuma kepada orang ramai kerana ia berlebihan selepas rantaian pengedaran hasil mereka terputus akibat PKP.

Perkara ini turut dirasai oleh nelayan dan petani di Parit Buntar, Perak kawasan di mana ahli parlimen mereka adalah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mantan Menteri Agama.

80% dari penduduk di kawasan beliau adalah tergolong dalam rakyat luar bandar yang kerja mereka adalah petani dan nelayan.

Menyedari hakikat inilah, Mujahid mengambil inisiatif dengan menyelamatkan mereka dan mempastikan hasil tangkapan dan tuaian petani sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Apa yang saya buat adalah saya memborong hasil tangkapan mereka dan sayur-sayuran petani dengan harga biasa dan saya bahagikan kepada pihak yang memerlukan.

“Sememangnya golongan yang memerlukan ikan dan sayuran ini ramai di kawasan saya kerana ramai yang hilang pekerjaan selepas PKP ini,” kata Mujahid, lapor Malaysia Dateline.

Menurut Mujahid, semalam beliau memborong satu lori ikan dari nelayan di Parit Buntar dan diedarkan kepada orang ramai yang memerlukannya.

“Saya tidak hantar terus kepada mereka kecuali yang perlu sahaja. Di bawah saya ada dua Dun. Jadi saya hantar ke pejabat dua Dun ini serta Pusat Khidmat saya.

“Dari situ, wakil-wakil cawangan AMANAH di seluruh Parit Buntar ini akan datang ambil untuk diedarkan kepada orang ramai yang memerlukan di kampung mereka,” kata Mujahid.

Antara pihak yang disantuni secara langsung oleh Mujahid adalah petugas barisan depan termasuk polis, askar dan jururawat.

Mujahid sedar, ketika tugas sebagai ahli parlimen perlu dijalankan, arahan kerajaan melalui PKP juga perlu dipatuhi.

Sebab itu, pihak yang memerlukan barangan itu tidak datang terus kepada beliau tetapi mendapatkannya dari pusat-pusat khidmat beliau melalui wakil-wakil setiap kampung.

Kesemua petugas sukarela beliau juga mematuhi arahan PKP termasuk mengekalkan jarak (sosial distancing) dan memakai topeng mulut dan sentiasa membersihkan tangan mereka.

RANGKAIAN PERKHIDMATAN

Sebagai ahli parlimen yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ, Mujahid mempunyai rangkaian yang lengkap di segenap ceruk di kawasan itu.

Sebab itu, apabila kerajaan mengarahkan agar badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik tidak mengedarkan sendiri bantuan mereka kepada orang ramai ketika PKP ini, ia tidak dipersetujui oleh Mujahid.

“Saya yakin kerajaan tidak perlu berbuat demikian. Kerajaan sepatutnya bekerja sama dengan NGO bukan menghalang mereka.

“Misalnya saya. Sebagai ahli parlimen, saya anggap saya juga orang barisan depan atau frontliners. Saya juga mempunyai rangkaian perhubungan secara langsung dengan orang ramai yang saya yakin kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dapat akses kepada semuanya,” kata Mujahid.

Semalam Mujahid memesan satu lori ikan daripada nelayan di Parit Buntar. Hari ini, Majahid bercadang untuk memesan satu lori sayur pula untuk diedarkan kepada orang ramai.

“Dengan cara ini, saya dapat membantu kedua-dua pihak. Nelayan dan petani yang perlu menjual hasil tangkapan dan tuaian mereka dan orang ramai yang memerlukan ikan dan sayur untuk terus hidup di musim serangan wabak Covid-19 ini,” kata Mujahid.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )