Tujuh Exco memadai bantu pentadbiran Kerajaan Negeri Perak

Tujuh Exco memadai bantu pentadbiran Kerajaan Negeri Perak

IPOH: Pelantikan tujuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak hari ini adalah untuk melengkapkan pembentukan jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, jumlah berkenaan memadai ketika ini bagi membantu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjalankan urusan pentadbiran selari dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Kerajaan Perak dengan penuh hormat dan takzimnya merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melantik tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ahli MMK Perak.

“Pembahagian portfolio ahli-ahli MMK yang dilantik hari ini akan ditentukan dalam masa terdekat manakala pengisian baki tiga lagi kuota ahli MMK akan diputuskan kemudian sekiranya ada keperluan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata, tujuh ahli MMK yang dilantik ialah Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan); Razman Zakaria (ADUN Gunung Semanggol); Datuk Shahrul Zaman Yahya (ADUN Rungkup); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (ADUN Tualang Sekah); Datuk Abdul Yunus Jamhari (ADUN Kuala Kurau); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (ADUN Kampung Gajah) dan Mohd Akmal Kamarudin (ADUN Selama).

“Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan telah berlangsung secara ringkas di Istana Kinta di sini hari ini untuk mematuhi Pergerakan Kawalan Perintah yang sedang dilaksanakan sehingga 14 April depan,” katanya.

Perikatan Nasional membentuk kerajaan di Perak dengan 25 kerusi UMNO, Pas (3) dan Bersatu (4).

Pada 13 Mac lalu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak telah mendapat perkenan Sultan Nazrin untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Pada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) lalu, lantikan Exco adalah seramai 10 orang.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )