Apa sikap kita terhadap ahli maksiat?

Apa sikap kita terhadap ahli maksiat?

1. Menteri Hal Ehwal Agama kerajaan PN telah menziarahi rumah persinggahan golongan LGBT. Tiada kecaman dikenakan kepada Menteri Agama baru ini, berbanding kecaman keras bertalu-talu dikenakan terhadap mantan Menteri Agama dulu. Bukan salah Menteri Agama yang baru, tapi warganet jengkel dengan sikap orang Melayu Islam pro Pas, Umno, Isma dan ‘Sunnah’ yang menimbang dengan dua neraca berbeza.

2. Seorang pegawai yang baru dilantik di pejabat Menteri Agama pun menjawab kritikan orang ramai itu dengan memberikan perbezaan tindakan Menteri Agama PN dan mantan Menteri Agama PH.

3. Pegawai yang memakai nama Nazrul Nazir itu mendakwa Menteri Agama PN menyantuni golongan LGBT yang sudah menjalani proses pemulihan. Maksudnya golongan LGBT yang sudah baik dan soleh serta layak masuk jemaah Islam lah barangkali. Tetapi jelas dalam gambar bersama Menteri Agama PN itu lelaki memakai baju kurung!

4. Dakwa pegawai itu lagi, mantan Menteri Agama PH pula menyantuni dan melayani dengan buat PC bersama golongan LGBT yang berjuang untuk meneruskan cara hidup begitu. Itulah perbezaannya!

5. Kita pun rasa nak bertanya pada Nazrul Nazir. (Saya fikir dia juga seorang ustaz, lulusan USIM katanya). Dalam berdakwah ni, kita kena pilih orang yang sudah baik dan solehkah untuk didekati? Maksudnya orang yang jahat, fasiq, liberal, LGBT, dan apa2 sahaja label buruk yang kita gelar itu jangan didekati kerana mereka kotor?! Oh begitu dakwah yang kamu dan geng semazhab kamu faham.. patutlah teruk sungguh mantan Menteri Agama dikecam dan difitnah oleh geng kamu sebagai ‘menyokong LGBT’ apabila beliau membuat engagement dengan Nisha Ayub!

6. Pernah tak Nazrul Nazir membaca hadis tentang seorang pemuda Quraisy yang datang ke majlis Rasulullah s.a..w dan meminta izin untuk berzina? Daripada latar belakangnya itu, mungkin dia seorang pemuda kaya yang sudah biasa berzina. Dia telah masuk Islam tetapi tidak boleh meninggalkan ketagihan zina. Lalu beliau meminta izin khas daripada Rasulullah s.a.w. untuk dirinya.

7. Para Sahabah r.a. yang ada bersama Rasulullah s.a.w. terkejut, menengking dan memegangnya (mungkin juga hampir2 memukulnya di atas sikap ‘kurang ajar’nya).

8. Rasulullah s.a.w. sebagai nabi rahmah (yang dipercayai oleh pemuda Quraisy itu sebagai seorang nabi yang tidak mudah marah atau menghina insan lain yang berdosa), baginda melarang Sahabah r.a. berkasar atau mengapa-apakan pemuda itu. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. meminta para Sahabah r.a. membawa pemuda itu dekat dengan baginda, sehingga baginda boleh memegang dan menyantuninya.

9. Baginda bertanya pemuda itu, “Kamu ada ibu?” Pemuda itu menjawab “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Sudikah kamu kalau ibumu dizinai orang lain?” Pemuda itu tercengang lantas dengan tegas menjawab “Allah menjadikan aku tebusanmu!” (seperti “langkah mayat aku dulu!”)

10. Baginda bertanya lagi, “Kamu ada saudara perempuan?” Jawabnya, “Ya”. “Sudikah kamu jika seorang lelaki lain menzinai saudara perempuanmu? Jawapan tegas yang sama diberkikan pemuda itu. Begitu juga jawapan pada soalan Rasulullah s.a.w. jika orang lain berzina dengan anak perempuannya, makciknya segelah bapa dan makciknya sebelah ibunya.

11. Akhirnya Rasulullah s.aw. dengan penuh kasih sayang menyentuh dada pemuda itu lantas berdoa: ” اللهم اغفر له وطهر قلبه وحصن فرجه (Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya (daripada penyakit zina)”. Sahabah yang meriwayatkan hadis ini berkata, selepas doa Rasulullah s.a.w. itu pemuda itu tidak memandang sedikit pun (tidak bermata liar atau mata keranjang menggoda perempuan)

12. Nah! Begitulah Islam yang sebenar yang diajar Rasulullah s.a.w. dalam berhadapan dengan ahli maksiat. Bukan memaki, mencela, mencemuh dan mengatakan dia ahli neraka!

13. Memang ada Sahabah r.a. yang belum memahami Islam dan akhlak Islam maka mereka hampir-hampir berkasar kepada pemuda itu, tetapi Rasulullah s.a.w. membetulkan penyelewengan faham mereka. Hari ini, siapa yang boleh membetulkan penyelewengan faham orang Islam yang bersemangat Islam itu kalau bukan ulama pewaris Nabi s.a.w.? Sepatutnya itu tugas para ulama. Tetapi kita dapati para ulama pada hari ini juga sama-sama jahil atau menjahilkan diri untuk duduk kalah bersama orang-orang jahil yang memaki hamun. Bahkan ada ulama besar yang sangat popular sama-sama menjuarai maki hamun seperti kata-kata “menteri bodoh tak bertebing.”

14. Buat saudara Nazrul Nazir, berhati-hatilah memberi gambaran Islam kepada orang ramai kerana anda berada di kedudukan yang dipandang. Islam bukan agama yang mengikuti pemikiran kita, tetapi ia ada sumbernya tersendiri, iaitu al-Quran dan al-Sunnah, serta sirah perjuangan baginda bsrsama para Sahabah r.a.

15. Selawat dan salam berpanjangan ke atas Rasulullah s.a.w pembimbing umat ini, Muhammad bin Abdillah nabi rahmah sekalian alam, ahli keluarga, para Sahabah dan Tabi’in selepas mereka.

 

USTAZ ALI MUDA adalah merupakan seorang pendakwah dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )