Covid19: Waktu operasi perniagàan di Perak 8 pagi hingga 8 malam

Covid19: Waktu operasi perniagàan di Perak 8 pagi hingga 8 malam

IPOH: Waktu operasi bagi semua premis perniagaan dan perkhidmatan di negeri ini selaraskan mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam susulan pelaksanaan fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketetapan itu berkuatkuasa esok sehingga 14 April atau sehingga perintah PKP ditarik balik.

Katanya, perniagaan dan perkhidmatan yang terlibat adalah semua premis perniagaan yang menjual keperluan harian termasuk pasar raya dan kedai runcit serta kedai serbaneka 24 jam.

“Ia turut melibatkan semua premis kedai makan dan rangkaian restoran makanan segera, khidmat pandu lalu dan stesen minyak serta perkhidmatan penghantaran makanan.

“Walau bagaimanapun, hospital swasta, klinik swasta dan farmasi dikecualikan daripada arahan waktu operasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, ADUN Chenderiang itu berkata, kerajaan negeri menetapkan had tempoh operasi dua kali dalam tempoh seminggu bagi perniagaan input pertanian yang menjual baja dan racun pada fasa kedua PKP.

Menurutnya, turut dibenarkan beroperasi dua kali seminggu ialah kedai perkakasan atau hardware.

Beliau berkata, penjualan makanan haiwan kesayangan, makanan haiwan , ubatan dan keperluan berkaitan juga dibenarkan dua kali seminggu

“Kedai menjual alat tukar ganti jentera pertanian dan industri juga dibenarkan beroperasi dua kali seminggu.

“Sehubungan itu, semua agensi diminta melaksanakan penguatkuasaan sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ahmad Faizal juga memaklumkan kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Panggilan Pengasingan atau Isolation Care Centre (ICC) bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri memantau pergerakan dan kesihatan Patient Under Investigation (PUI) di negeri ini.

“Pusat pengasingan ini bermula di Daerah Kinta, sekaligus memutuskan penularan Covid-19 dalam komuniti. Pusat ini diketuai oleh petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )