Lapan individu leka ‘berparti’ semasa Covid19 diberkas

Lapan individu leka ‘berparti’ semasa Covid19 diberkas

IPOH: Keseronokan lapan individu termasuk seorang wanita yang leka berhibur dalam sebuah bilik di sebuah homestay di Jalan Kuala Kangsar di sini terbantut apabila diserbu polis awal pagi tadi.

Dalam serbuan pada pukul 2.50 pagi itu, kesemua suspek berusia 15 hingga 24 tahun itu ditahan oleh sekumpulan pegawai dan anggota yang sedang menjalankan tugas Op Cantas Charlie Covid-19.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd. Aziz berkata, serbuan ke atas premis tersebut dilakukan setelah pihaknya mendapat maklumat terdapat penganjuran parti persendirian.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang berhibur dalam sebuah bilik di mana kedengaran bunyi muzik yang kuat di dalam bilik tersebut.

“Apabila menyedari kehadiran pihak polis, kumpulan lelaki dan wanita yang sedang berhibur itu cuba melarikan diri mengikut pintu belakang.

“Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditangkap walaupun berlaku pergelutan semasa tangkapan dilakukan,” katanya seperti dilaporkan Perak Gazette.

Jelas beliau, soal siasat ke atas kesemua tangkapan mengenai tujuan mereka berkumpul di dalam homestay berkenaan tidak mendapat sebarang penjelasan yang memuaskan dan munasabah.

Susulan itu katanya, kesemua mereka telah ditahan di lokap Balai Polis Pekan Bharu manakala peralatan muzik seperti pembesar suara dan sebuah telefon bimbit dirampas.

“Pihak polis telah memberitahu sebab-sebab tangkapan dilakukan ke atas semua mereka dalam bahasa yang mudah difahami dan mereka mengakui faham mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Perak 1997,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )