Tiga cadangan kepada Kerajaan Negeri Perak tangani Covid19

Tiga cadangan kepada Kerajaan Negeri Perak tangani Covid19

Dengan mengetepikan permainan politik demi menumpukan usaha menyelamatkan nyawa, harta benda, pekerjaan dan masa depan rakyat Malaysia, khususnya warga Perak, saya mencadangkan tiga perkara utama untuk membantu kerajaan menangani masalah yang amat besar ini.

ANALISA & UNJURAN IMPAK EKONOMI NEGERI

Satu kajian dan analisa yang mendalam dan menyeluruh (economic impact analysis) perlu disegerakan terhadap kesan PKP dan COVID19 ke atas ekonomi negeri kita ekoran daripada krisis ini. Kajian ini perlu memberi gambaran dan perangkaan impak sekiranya PKP akan berakhir seperti pengumum setakat ini, yakni 28 hari, dan juga bagi senario 36 hari ataupun 56 hari, mengikut sektor ekonomi yang terbesar di negeri kita.

UPEN dan IDR perlu berganding bahu menerajui tugasan ini bersama dengan pakar-pakar ulung dalam merangka model ekonomi. Kajian ini dicadangkan diberi tumpuan kepada 15 sektor utama yang paling menyumbang kepada ekonomi negeri kita. Kita perlu tahu berapa ramai rakyat Perak yang bakal kehilangan kerja, berapa pekerjaan yang kemungkinan terpaksa gulung tikar, dan kita perlukan satu unjuran yang tulus dan jujur supaya kita dapat persiapkan satu pelan dan penyelesaian.

PELAN PEMULIHARAAN PASCA COVID19

Sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri, saya berpengalaman dalam hal-ehwal pentadbiran. Di sini saya cadangkan agar diadakan segera libat urus dan temu tembung dengan pemegang taruh (stakeholders) di peringkat negeri yang berada di bawah portfolio setiap Exco. Ini penting bagi membincangkan keperluan, jenis, bentuk dan kaedah penyampaian bantuan rangsangan (stimulus assistance) bagi sektor ekonomi masing-masing.

Sebagai contoh, bagi portfolio saya dahulu, iaitu Pembangunan Belia dan Sukan, ia akan melibatkan penyertaan daripada MBN, MPMP, persatuan-persatuan sukan, pemain industri sukan, pembekal dan pengeluar peralatan sukan, makanan kesihatan, penganjur aktiviti sukan dan lain-lain. Bagi portfolio keusahawanan dan pelaburan pula, ia akan melibatkan badan-badan keusahawanan; dewan perniagaan Melayu, Cina, India, FMM, dan MEF;

Kita boleh terus bertemu-tembung walaupun jauh dengan teknologi terkini melalui alam maya. Sesi -sesi ini seharusnya diadakan sekarang juga.

BAJET TAMBAHAN BAGI RANGSANGAN PERINGKAT NEGERI DAN PERANCANGAN PERBELANJAAN PERUNTUKAN KHAS COVID19 KERAJAAN PERSEKUTUAN

Kita semua telah dimaklumkan tentang peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM 130 juta. Apa yang tidak diberitahu kepada kita semua adalah bagaimana taburan dan agihan peruntukan itu bakal dilaksanakan. Maka, perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan negeri perlulah dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya yang penting-penting sahaja yang menerima manfaatnya.

Saya menyeru supaya satu pakej rangsangan tambahan dibentangkan oleh Kerajaan Negeri, mengikut hasil perbincangan dengan semua pemegang taruh mengikut portfolio. Sejauh mana bajet tambahan bagi rangsangan di peringkat negeri boleh disediakan, mengikut penaburan dan pengagihan apa, sekiranya boleh juga wajar diperbahaskan di dalam Dewan Undangan Negeri..

Di pihak kami, saya rasa kami sedia membantu kerajaan bagi mendepani cabaran-cabaran pasca malapetaka ini. Semuanya ini atas dasar kemanusiaan, dan bukannya keghairahan politik. Bagi kami, kuasa tidak ada maknanya jika rakyat tidak dijaga, dilindungi dan dihormati.

Sehubungan itu, saya mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri bersedia seberapa segera yang mungkin untuk menubuhkan jawatankuasa bipartisan bagi melaksanakan cadangan-cadangan seperti yang diperincikan di atas.

 

HOWARD LEE CHUAN HOW adalah merupakan ADUN Pasir Pinji merangkap Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )