Kerana ADUN Umno, Peja pendekkan tempoh penyelaras Dun Bersatu

Kerana ADUN Umno, Peja pendekkan tempoh penyelaras Dun Bersatu

IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah membuat tindakan drastik memendekkan tempoh perkhidmatan Penyelaras DUN yang dianggotai oleh partinya sendiri.

Notis tersebut telah dikeluarkan melalui surat yang dihantar kepada semua Penyelaras DUN di negeri ini.

Mengikut maklumat Perak Insights, antara yang telah menerima surat tersebut ialah Penyelaras DUN Manong, Dr Hashim Bujang dan Penyelaras DUN Kubu Gajah, Dato’ Khairil Anuar Akhiruddin.

Difahamkan Penyelaras DUN Bersatu yang lain bakal berdepan nasib yang sama.

Mengikut rekod, Bersatu memegang jawatan penyelaras di 14 buah dun di negeri Perak Perak.

“Adalah dimaklumkan bahawa tempoh lantikan tuan sebagai Penyelaras bagi DUN Manong, Parlimen Kuala Kangsar, Perak adalah dipendekkan sehingga 30 April 2020.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan jasa tuan sepanjang berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Manong, Parlimen Kuala Kangsar, Perak,” katanya Ahmad Faizal di dalam surat bertarikh 25 Mac kepada Penyelaras DUN Manong.

Tindakan ini difahamkan disebabkan 14 Dun tersebut disandang oleh wakil rakyat Umno yang kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Perak.

Oleh kerana Umno kini menjadi sebahagian daripada kerajaan, jawatan penyelaras Dun yang berperanan sebagai wakil kerajaan tidak lagi diperlukan.

Nasib Penyelaras DUN Bersatu ini pernah dilaporkan oleh Perak Insights sebelum ini yang mana ada dari kalangan pemimpin bersatu melahirkan keresahan mereka terhadap masa depan parti itu.

“Keputusan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan tidak memberi keuntungan kepada Bersatu.

“Apabila Bersatu bekerjasama dengan Umno, apa nasib kami sebagai Penyelaras Dun sekarang?

“Sudah tentu kedudukan kami akan dibubarkan kerana kawasan tersebut sudah ada Adun atau ahli parlimen Umno,” kata seorang pemimpin Bersatu seperti yang dilaporkan Perak Insights sebelum ini.

Dalam pada itu, Setiausaha AMANAH Perak Salman Saleh ketika dihubungi berkata, kenam-enam Penyelaras DUN daripada AMANAH turut mendapat surat yang sama.

Walaubagaimanapun kata beliau, pihaknya telah bersedia dengan tindakan tersebut kerana parti itu bukan lagi sebahagian daripada kerajaan.

“Ya, kami telah pun menerima surat tersebut yang diposkan atas alamat Wisma AMANAH Negeri Perak, Ipoh.

“Walaubagaimanapun, kami telah bersedia dengan tindakan tersebut kerana AMANAH bukan lagi sebahagian daripada kerajaan dan DUN yang kami wakili sebagai penyelaras kini menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
Disqus ( )