MIC kata poster rasmi menteri tulisan Tamil isu remeh

MIC kata poster rasmi menteri tulisan Tamil isu remeh

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC mempertahankan poster Menteri Sumber Manusia M Saravanan, yang turut menggunakan tulisan Tamil, sempena sambutan ulang tahun ke-74 RTM.

Ketua Pemuda MIC R Thinalan menggesa pengkritik juga bermain politik dalam isu-isu yang remeh.

“Usahlah bermain politik di dalam perkara remeh sebegini tatkala rakyat dan negara mengharungi cabaran wabak Covid-19,” katanya.

Demikian katanya, merujuk kepada e-poster tersebut yang dikritik segelintir pihak kerana mengandungi terjemahan dalam bahasa Tamil.

Pada 1 April, dalam e-poster, Saravanan yang juga timbalan presiden MIC mengucapkan tahniah sempena ulang tahun badan penyiaran negara itu menggunakan bahasa Melayu dan Tamil.

Sementara itu, Thinalan berkata penggunaan tulisan Tamil itu sekadar terjemahan kepada ayat berbahasa Melayu.

“Jika diteliti, Bahasa Melayu diberi keutamaan, dan Bahasa Tamil pula sekadar terjemahan langsung ucapan tersebut.

“Jelas ternyata pejabat Menteri Sumber Manusia tiada niat tersirat di dalam perkara ini, hanya sekadar mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Cabar identiti – Berjasa

Terdahulu, parti sekutu PAS – Berjasa – berpandangan bahawa tindakan menggunakan Bahasa Tamil di media sosial dalam segala urusan rasmi adalah pencerobohan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sekali gus mencabar identiti watan itu sendiri.

“Ditulis dalam Bahasa Tamil adalah menggambarkan mereka tidak sedar di mana negara mereka duduk,” kata Ketua Penerangan Berjasa Zamani Ibrahim dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa sebagai warganegara Malaysia hendaklah sedar bahawa semua bangsa mesti menghayati dan menghormati identiti watan negara ini iaitu Islam, Melayu dan institusi raja.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )