Celaru! Menteri bidas kerajaan isu kilang arak

Celaru! Menteri bidas kerajaan isu kilang arak

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan yang sangat celaru apabila menteri sendiri membantah keputusan yang dibuat oleh kerajaannya dalam isu kilang arak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa membidas keputusan kerajaan PN yang memberi pengecualian kepada syarikat arak, Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dakwanya bertentangan dengan dasar yang ditetapkan.

“Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan. Tindakan perlu diambil segera,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini, Pemimpin Umno itu mengulas hantaran seorang netizen yang memprotes terhadap pengecualian berkenaan.

Sebelum ini, sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak itu untuk beroperasi tular di media sosial.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Pihak Heineken kemudian mengesahkan ketulenan surat itu melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )