Kerajaan Perak lancar Skim Agro Prihatin

Kerajaan Perak lancar Skim Agro Prihatin

IPOH: Kerajaan Negeri Perak hari ini melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) bagi membantu petani-petani yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi skim AgroPrihatin ini, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi membeli hasil-hasil pertanian terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual daripada para petani.

Petani tersebut adalah terdiri daripada yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak dan PPPNP.

Pembelian tersebut akan dilakukan secara tunai untuk membantu kecairan modal segera bagi para petani.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, skim ini adalah berasaskan kepada kerjasama rakan strategik dan usaha strategik di antara Kerajaan Negeri melalui PPPNP dengan KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama dan Central Kitchen.

“Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan berjumlah dalam 10,000 orang.
“Syarikat korporat seperti Agroto Business berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP berkata, bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), hasil pertanian disalurkan kepada operator Central Kitchen seluruh Negeri Perak untuk penyediaan makanan bermasak kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertugas dalam operasi mengekang penularan wabak Covid-19.

Berdasarkan kepada data dari Jabatan Pertanian dan agensi-agensi pertanian negeri, katanya, pengeluaran hasil pertanian oleh para petani di Negeri Perak sehingga 14 April 2020 dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik.

Bagaimanapun, Faizal berkata dianggarkan antara 20 hingga30 peratus daripada hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan dari pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung sehingga 14 April 2020 atau sehingga arahan itu ditarik balik.

“Justeru Kerajaan Negeri menyeru kepada para petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP untuk memudahkan urusan penyaluran bantuan.

“Semoga inistiatif skim AgroPrihatin akan membantu meringankan beban para petani yang terjejas, seterusnya memastikan kelangsungan dan kestabilan bekalan produk pertanian di Negeri Perak pada masa hadapan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )