Perak rangka Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri

Perak rangka Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah menubuhkan satu pasukan khas bagi merangka Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri untuk menghadapi cabaran yang dihadapi susulan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pasukan khas itu berperanan merangka strategi sesuai dengan pelbagai cabaran semasa termasuk menggunakan kaedah-kaedah di luar daripada pendekatan biasa.

“Apa yang kita hadapi tahun ini jauh berbeza daripada cabaran-cabaran lalu. Ancaman pandemik COVID-19 menyebabkan kerajaan terpaksa meminta rakyat berada di rumah bagi mengekang penularan virus ini sekali gus merencatkan keseluruhan aktiviti sosial dan ekonomi.

Kita perlu perlu bersedia mengambil pendekatan-pendekatan luar daripada kebiasaan. Kita perlu berdepan dengan hakikat bahawa kehidupan tidak akan lagi sama seperti sebelum ini. Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan sehingga keadaan pulih sepenuhnya,” katanya dalam sidang media pengumuman portfolio tujuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di sini, semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal menyeru jentera pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat untuk merenung dan memahami krisis yang sedang dihadapi seterusnya merancang serta menyusun langkah bagi menghadapi gelombang yang lebih besar.

“Saya yakin barisan Exco yang telah kita bentuk, berkongsi niat dan iltizam kuat untuk merangka dan melaksanakan perancangan bagi menstabilkan sosio-ekonomi negeri untuk tempoh dua tahun akan datang dan juga bagi jangka masa panjang,” katanya.

Kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif berikutan penularan COVID-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan antaranya bantuan sekali bayar sebanyak RM500 kepada golongan penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); pengecualian bayaran sewa Program Perumahan Rakyat selama enam bulan bermula Mac dan Skim Agro Prihatin Negeri Perak bagi membantu petani.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )