Zainol Fadzi kekal Penasihat MB Perak

Zainol Fadzi kekal Penasihat MB Perak

IPOH: Khidmat Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terus dikekalkan, demikian menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.

Pengekalan jawatan itu berikutan Zainol Fadzi telah memainkan peranan yang penting dalam membantu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri selama 20 bulan iaitu semasa Pakatan Harapan berkuasa.

“Menteri Besar memutuskan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu perlu dikekalkan bagi menasihati beliau dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri yang baru dibentuk.

“Menteri Besar yakin Zainol Fadzi akan terus memainkan peranan dalam membantu jentera pentadbiran kerajaan negeri menghadapi pelbagai cabaran sosial dan ekonomi lebih-lebih lagi dengan penularan COVID-19,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Ahmad Faizal mengumumkan perincian portfolio bagi beliau dan tujuh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan menggalas cabaran menstabilkan ekonomi negeri Perak dalam tempoh dua tahun akan datang dan jangka masa panjang.

Tambah kenyataan itu, Ahmad Faizal turut mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini iaitu yang pertama selepas Perikatan Nasional Perak terdiri daripada Barisan Nasional, PAS dan Bersatu berjaya membentuk kerajaan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )