Penamatan khidmat MPKK tak kena masa, kata ADUN

Penamatan khidmat MPKK tak kena masa, kata ADUN

IPOH: Keputusan kerajaan Perak menamatkan khidmat jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pada 30 April disifatkan tidak wajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

ADUN Hulu Kinta, Mohamad Arafat Varisai Mahamad berkata, tindakan itu disifatkan sebagai tidak mengutamakan kepentingan rakyat kerana masyarakat yang terjejas sepanjang PKP akan berdepan masalah untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, biarpun Penghulu Mukim diarahkan untuk memangku tugas pengerusi MPKK sementara waktu, ia tidak akan mampu dilaksanakan secara berkesan memandangkan jumlah kampung dan penduduk yang banyak.

“Sebagai contoh di daerah Kinta sahaja mempunyai 70 kampung tradisi yang mana ketiadaan MPKK akan menyukarkan Penghulu Mukim dan Pegawai Daerah dalam melaksanakan bantuan rakyat.

“Keadaan ini akan menyebabkan masalah rakyat lambat untuk diselesaikan terutama ketika negara dan negeri sedang bergelut dengan penularan Covid-19 dan PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan kerajaan Perak menamatkan khidmat MPKK berkuat kuasa 30 April depan.

Mohamad Arafat berkata, proses pelantikan pengerusi MPKK yang baharu itu mungkin akan mengambil masa kerana dijangka berlaku masalah pembahagian kawasan MPKK dalam komponen Perikatan Nasional.

Beliau berkata, sejak PKP diumumkan, kebanyakan pengagihan bantuan rakyat yang disalurkan daripada Pejabat Daerah dilaksanakan oleh MPKK sedia ada di seluruh Perak.

Katanya, walaupun kerajaan telah berubah tanpa melalui mandat rakyat, kesemua MPKK menjadi petugas barisan hadapan dengan memberikan kerjasama baik kepada pihak Pejabat Daerah untuk mengedarkan barangan bantuan rakyat dari rumah ke rumah kepada keluarga yang memerlukan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )