Lantik segera Pengerusi MPKK, jangan tunggu Jun

Lantik segera Pengerusi MPKK, jangan tunggu Jun

IPOH: Kerajaan Negeri Perak diminta agar membuat pelantikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kadar yang segera.

Mantan Exco Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi berkata, cadangan kerajaan untuk membuat pelantikan pada bulan Jun nanti adalah sangat lewat.

Kata beliau, dalam suasana negara kini sedang menghadapi wabak Covid19, tugas dan peranan ketua kampung adalah sangat penting.

“Saya mengharapkan agar pihak kerajaan dapat membuat pelantikan ketua kampung (Pengerusi MPKK) dalam kadar yang segera.

“Saya kira pelantikan pada bulan Jun adalah sangat lewat iaitu dua bulan lagi.

“Sedangkan dalam tempoh dua bulan ini merupakan tempoh yang sangat kritikal bagi rakyat,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Jelas beliau, pelantikan dengan kadar segera ini adalah penting supaya keperluan masyarakat di kampung-kampung untuk mendapatkan perkhidmatan MPKK dapat disediakan.

Asmuni yang juga ADUN Manjoi berkata, sekiranya kerajaan mempunyai kekangan untuk melantik sekali gus, beliau mencadangkan agar lantikan itu dilantik secara berperingkat mengikut kemampuan kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, meletakkan tanggungjawab kepada penghulu untuk memangku tugas Pengerusi MPKK adalah satu bebanan yang sangat besar.

Ini kerana kata beliau, tugas sebagai penghulu itu sudah cukup terbeban terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

“Harus diketahui, setiap penghulu bukan hanya bertugas menjaga satu kampung sahaja, bahkan bertanggungjawan ke atas pentadbiran mukim yang mempunyai banyak Dun dan kampung-kampung.

“Misalnya di zon bandaraya ini, penghulu mukim bertanggungawab ke atas kampung-kampung di banyak Dun termasuklah Manjoi, Sungai Rapat, Hulu Kinta, Tebing Tinggi dan sebagainya,” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )