Beli barang di kedai non muslim bukti hipokrasi Pas dalam kempen BMF

Beli barang di kedai non muslim bukti hipokrasi Pas dalam kempen BMF

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak meminta penjelasan Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria berhubung status Kempen Buy Muslim First (BMF) di negeri ini.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Muhamad Nakhaie Abd Wahab berkata, seperti sedia maklum, Razman adalah antara individu yang paling lantang di negeri ini memperjuangkan kempen ini ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Walaubagaimanapun, katanya, apabila beliau sudah menjadi kerajaan biarpun bukan melalui pilihan raya, ADUN Gunong Semanggol itu seolah-olah lupa tentang apa yang beliau perjuangkan selama ini.

Kata beliau, ini terbukti apabila pusat khidmat beliau sendiri memilih pemborong bukan Islam sebagai tempat untuk mereka memborong membeli barangan untuk kegunaan pusat khidmatnya itu.

“Tindakan Pusat Khidmat ADUN Gunong Semanggol itu telah mendapat kecaman pelbagai pihak yang rata-rata kecewa apabila pemimpin itu seolah ‘cakap tak serupa bikin’.

“Turut mengecam tindakan tersebut ialah Ketua Prasarana Kempen (BMF), Izzat Johari yang menganggap pemimpin tersebut tidak konsisten.

“Izzat menganggap tindakan tersebut menzahirkan sikap sebenar mereka yang hanya ‘hangat-hangat tahi kambing’.

“Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut mendakwa ‘pemimpin’ tersebutlah punca kempen BMF di negeri Perak dilarang untuk diadakan di masjid.

“Ini kerana kata Izzat, pemimpin tersebut menggunakan pentas BMF untuk berkempen politik dan akhirnya kempen tersebut telah mendapat nama busuk di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Nakhaie menyifatkan, tindakan ini menzahirkan bahawa pemimpin tersebut hanyalah beretorik semata-semata sedangkan mereka sendiri tidak mengotakan apa yang beliau sendiri katakan.

Tegasnya, kempen BMF yang ‘ditunggang’ oleh mereka ini hanyalah bersifat politik semata-mata demi menaikkan kemarahan tertentu serta menarik sokongan segelintir pihak.

“Kami menyeru agar masyarakat mengenali sikap sebenar Pas yang hanya pandai berkata-kata.

“Hipokrasi mereka ini wajar ditolak oleh rakyat sebaliknya terus fokus kepada politik berunsur matang dan profesional selari dengan realiti masyarakat di negara ini,” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )