Langgar PKP: Razman dan anaknya dipanggil beri keterangan kepada polis esok

Langgar PKP: Razman dan anaknya dipanggil beri keterangan kepada polis esok

IPOH: Polis Perak akan mengambil keterangan Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria bersama beberapa individu lain selepas gambar mereka tular di media sosial menghadiri jamuan bersama Timbalan Menteri, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya akan memanggil individu terlibat esok berdasarkan penelitian gambar yang tular.

“Polis Perak turut mendapatkan bantuan Bukit Aman untuk merakam percakapan timbalan menteri berkenaan kerana beliau berada di ibu negara,” katanya, lapor Bernama.

Perkara tersebut turut disahkan oleh anak Razman, Muhammad Rif’aat di laman sosial Facebooknya.

Katanya, beliau turut dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

“Esok saya dan Baba (Razman) dipanggil ke IPD Gerik untuk beri keterangan mengenai laporan yang dibuat mengenai Timbalan Menteri dan pengiringnya singgah solat dan makan (petang lepas asar baru makan tengah hari) di maahad tahfiz kami.

“Sambil depa singgah maahad, ada la disampaikan sumbangan kepada orang kampung. Singgah solat, makan dan sampaikan sumbangan ja, sebenarnya tiada isu besar pun,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )