Pengusaha kelapa di Bagan Datuk gusar hasil tidak dapat dijual

Pengusaha kelapa di Bagan Datuk gusar hasil tidak dapat dijual

IPOH: Pengusaha kelapa di Bagan Datuk gusar apabila hasil tanaman mereka tidak dapat dijual seperti biasa.

Ini berikutan permintaan yang merosot disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Covid-19.

Ini telah menyebabkan berlaku lambakan kelapa tua manakala kelapa muda yang sepatutnya dijual sebagai minuman kini sudah menjadi kelapa tua.

Sebuah syarikat yang menanam dan memborong kelapa di Bagan Datuk, Zumas Maju Enterprise mengalami masalah untuk menjual kelapa ekoran permintaan yang merosot.

Pengurusnya, Kamalrul Zaman Badri berkata, sebelum ini syarikatnya boleh menjual sehingga 50,000 biji kelapa termasuk kepada pemborong luar yang membeli kelapa di sana.

“Namun sekarang semasa tempoh PKP ini, hanya kedai dan restoran yang kecil-kecil saja membeli kelapa iaitu antara 500 hingga 1,000 biji seminggu.

“Sedangkan kebiasaannya pasaran kelapa agak tinggi menjelang bulan Ramadan atau disebabkan permintaan daripada pengusaha kuih yang mahu membuat tempahan kuih raya,” katanya seperti dilaporkan oleh Perak Gazette.

Beliau menjelaskan, buah kelapa tua yang lama terbiar tidak kupas akan rosak dan bercambah.

“Kelapa muda pula, jika dibiarkan lama di pokok, buahnya akan menjadi tua dan tidak laku untuk dijual sebagai air kelapa muda.

“Manakala kelapa tua yang sudah diambil dari pokoknya, jika tidak diproses atau dikupas, ia akan cambah menyebabkan isinya rosak dan menjadi masam,” katanya.

Sehubungan itu, Kamalrul Zaman berharap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah pengusaha kelapa yang gagal untuk menjual hasil.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )