Rakyat Bagan Serai kena dakwa solat berjemaah, MP dan ADUN ‘relax’ makan berjemaah

Rakyat Bagan Serai kena dakwa solat berjemaah, MP dan ADUN ‘relax’ makan berjemaah

IPOH: Baru-baru ini Perak Insights melaporkan seramai 13 jemaah sebuah masjid di Bagan Serai ditahan kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat Isyak.

Ke semua mereka ditahan oleh polis pada 28 Mac lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan selanjutnya.

Namun, semalam dua wakil rakyat di Parlimen Bagan Serai iaitu Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Ahli Parlimen Bagan Serai) Razman Zakaria (ADUN Semanggol) dilihat bebas makan beramai-ramai secara ‘berjemaah’ di dalam satu majlis di Lenggong.

Tindakan wakil rakyat ini telah mendapat kecaman hebat oleh masyarakat khususnya di laman sosial yang rata-rata menganggap seolah-olah berlaku ‘double standard’ sekiranya kesalahan pemimpin itu tidak diambil tindakan.

Tekanan yang diberikan oleh rakyat menyebabkan akaun Facebook Dr Noor Azmi Ghazali yang memuatnaik gambar makan ‘berjemaah’ itu telah dinyahaktif dan tidak lagi boleh diakses.

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap ke semua pemimpin yang melanggar PKP.

Lebih menyedihkan, kedegilan melanggar PKP ini turut dilakukan oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang sepatutnya lebih sensitif tentang perkara ini.

Tegasnya, adalah tidak adil jika pemimpin parti bebas melanggar PKP sedangkan rakyat yang melakukan kesalahan yang sama termasuklah pergi berjemaah di masjid didakwa.

“Pihak berkuasa tidak boleh double standard dalam mengenakan tindakan. Jangan biarkan mereka terus menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

“Saya berharap tidak wujud kluster baru iaitu kluster politikus oleh kerana kedegilan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional,” tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )