Tiada solat terawih di masjid, surau di Perak

Tiada solat terawih di masjid, surau di Perak

IPOH: Solat tarawih tidak dibenarkan diadakan di masjid atau surau di seluruh Perak setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Umat Islam dijangka mula menjalani ibadah puasa pada 24 April ini dan tempoh PKP telah dilanjutkan sehingga 5 Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Shahrul Azam Shaari berkata, solat tarawih hendaklah dibatasi dalam rumah masing-masing membabitkan dalam kalangan ahli keluarga.

Menurutnya, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perak setelah dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu lalu.

“Selain itu, tidak dibenarkan mengadakan acara berbuka puasa, bersahur, qiamullail, tazkirah, kursus, ceramah dan sebarang aktiviti yang melibatkan perhimpunan di masjid, surau atau tempat-tempat tertentu bagi melindungi orang ramai daripada terdedah kepada virus Covid-19.

“Solat Jumaat juga tidak dilaksanakan sebaliknya menunaikan solat Zuhur serta tidak dilaksanakan solat fardu secara berjemaah di semua masjid dan surau,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrul Azam berkata, pihaknya turut memutuskan solat Aidilfitri dilakukan dalam kalangan ahli keluarga di rumah masing-masing sekiranya PKP dilanjutkan sehingga Syawal.

“Solat Aidilfitri dibolehkan dilakukan di masjid atau surau tertakluk kepada syarat-syarat berikut iaitu kehadiran tidak lebih daripada tiga pegawai masjid (imam, bilal dan siak).

“Khatib yang bertugas hendaklah membaca khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak dan boleh menggunakan pembesar suara luar untuk dapat didengari oleh penduduk di sekitar masjid,” katanya.

Katanya lagi, imam hendaklah membaca surah pendek dan wirid ringkas dan tiada aktiviti berjabat tangan sebelum dan selepas solat.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )