Perak kerjasama dengan FoodPanda, GrabFood laksana SMART Iftar@Perak

Perak kerjasama dengan FoodPanda, GrabFood laksana SMART Iftar@Perak

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan menjalin kerjasama dengan syarikat penghantaran makanan iaitu FoodPanda, GrabFood serta sistem Yezza bagi pelaksanaan bazar Ramadan secara dalam talian, SMART Iftar@Perak ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, sehubungan itu satu aplikasi khas akan dibangunkan untuk pelaksanaan SMART Iftar@Perak dengan kerjasama syarikat penghantaran makanan tersebut.

Menurutnya, aplikasi tersebut akan memaparkan direktori maklumat peniaga yang berdaftar yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan menu Ramadan serta harga makanan.

Beliau berkata, majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama di antara kerajaan negeri dengan rakan strategik tersebut dijangka diadakan minggu depan.

“Digital Perak Corporation Holdings (Perak Digital) sedang membangunkan platform digital tersebut iaitu http://digital perak.

“Ia akan bermula operasi hari ini untuk pendaftaran peniaga dan untuk tatapan pembeli pula mulai 1 Ramadan nanti. Satu kategori khas FoodPanda dan GrabFood akan dipamerkan di aplikasi masing-masing.

“Di bawah SMART Iftar@Perak, FoodPanda dan GrabFood memberikan diskaun sebanyak lima peratus di atas pihak syarikat untuk komisyen makanan yang dikenakan ke atas pihak vendor iaitu 25 peratus daripada 30 peratus caj biasa,” katanya, lapor Perak Gazette.

Menurut Nolee Ashilin, kerajaan negeri juga menggalakkan usaha komuniti untuk menjalankan jualan secara atas talian dan perkhidmatan penghantaran di kawasan masing-masing.

“Kerajaan negeri juga menggalakkan restoran di kawasan masing-masing menjalankan kerjasama dengan peniaga lain untuk servis pick-up di premis yang dibenarkan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )