Setelah dikecam hebat langgar PKP, Razman tampil mohon maaf

Setelah dikecam hebat langgar PKP, Razman tampil mohon maaf

IPOH: Setelah menerima kecaman hebat daripada masyarakat kerana didakwa melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria hari ini tampil memohon maaf secara terbuka.

Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini, Razman memberi penjelasan terhadap isu tersebut namun beliau berkata ia bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini, Razman menjelaskan usaha dilakukan setiap hari bagi memberikan bantuan serta merta terhadap sebarang kekurangan peralatan yang diperlukan petugas barisan hadapan terutama kepada petugas kesihatan.

Malah menurut Pesuruhjaya Pas Perak itu, setiap tindakan dilakukan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku. Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP Insya-ALLAH kami akan atasi,” katanya.

Beliau berkata, setiap malam petugasnya menghantar makanan bermasak kepada petugas sekatan jalan raya di sekitar Bagan Serai khususnya.

Menurutnya, daripada situ beberapa masalah dan keperluan petugas di atas, sebagai contoh tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalan raya yang amat mendesak.

Semalam tular beberapa gambar menunjukkan Razman dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong yang dikatakan melanggar arahan PKP.

Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah, Muhammad Rif’aat Razman dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan turut akan memberi keterangan kepada pihak polis berhubung isu tersebut.

Beliau menjelaskan, kunjungan Dr Noor Azmi dan pengiringnya di maahad tahfiz tersebut bertujuan untuk singgah menunaikan solat Asar dan makan sebentar kerana tidak sempat makan tengah hari.

Katanya, pada masa sama diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung.

“Singgah solat, makan dan sampaikan sumbangan je, sebenarnya tiada isu besar pun. Tak pasal-pasal maahad tahfiz kami dapat publisiti percuma masuk berita dan tular meluas,” katanya yang juga anak kepada Razman.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya akan mengambil keterangan exco berkenaan bersama beberapa individu berkaitan gambar yang tular tersebut.

Kejadian tersebut juga mendapat perhatian Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian semalam dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )