Persenda agama Islam, dua individu diberkas

Persenda agama Islam, dua individu diberkas

IPOH: Dua individu ditahan bagi membantu siasatan kes tular seorang lelaki mempersendakan agama Islam melalui rakaman video solat dalam dua tangkapan berasingan di sini, kelmarin.

Pelaku yang merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun itu ditahan di Taman Kledang, Menglembu pada pukul 11.15 malam diikuti tangkapan ke atas rakan wanitanya yang berusia 20 tahun di Taman Silibin Ria di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd. Aziz berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku dia adalah individu dalam video tular yang melakukan perbuatan solat itu.

Katanya, rakaman itu dilakukan oleh rakan wanitanya menerusi telefon bimbit.

“Wanita itu juga mengaku dia yang merakam perbuatan tersebut melalui telefon bimbitnya dan memberitahu hanya bertujuan gurauan.

“Siasatan di telefon bimbit wanita itu mendapati, rakaman video itu dilakukan di sebuah homestay di Taman Lapangan Terbang pada 28 Oktober tahun lalu, pukul 1.27 pagi,” katanya, lapor Perak Gazette.

Jelas beliau, wanita itu bagaimanapun telah memadamkan video berkenaan daripada laman Instagramnya ekoran takut apabila video itu mula tular di laman sosial.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihak polis merampas dua buah telefon bimbit milik kedua-dua suspek tersebut.

“Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Hasutan, Sekyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Penularan video tular yang memaparkan aksi seorang lelaki bersolat dan berdoa sambil diiringi ketawa rakan-rakannya mencetuskan kemarahan warga maya terutama umat Islam.

Video berdurasi 28 saat itu mula tular sejak semalam dan mendapat kecaman warga maya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )