Bekalan sayur-sayuran, buah-buahan mencukupi di Perak

Bekalan sayur-sayuran, buah-buahan mencukupi di Perak

IPOH: Bekalan makanan di Perak, khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan, adalah mencukupi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 dilaksanakan ketika ini, kata Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman hari ini.

Beliau mengambil contoh keseluruhan pengeluaran pertanian bagi tempoh 28 Mac hingga 30 April adalah sebanyak 35 tan metrik dan jumlah itu lebih daripada mencukupi.

Oleh itu, Norsiyenti berkata adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sayur-sayuran atau buah-buahan di pasaran tempatan dengan alasan kekurangan bekalan.

“Pengeluaran sayur seperti bendi, kacang panjang, timun, petola, terung, cili dan buahan-buahan untuk dua minggu ialah di antara 13 hingga 17 tan metrik, maka untuk sebulan terdapat 34 tan metrik atau lebih, bila pengeluaran cukup tidak patut harga naik malah ada yang rendah (daripada harga pasaran),” katanya di sini hari ini.

Norsiyenti berkata selain bekalan mencukupi bagi keperluan dalam negeri, pihaknya masih mengeksport sayur-sayuran dan buah-buahan seperti lada dan betik ke Kedah, Melaka serta Selangor dan meminta agar petani tidak berasa bimbang kerana Skim Agro Prihatin Negeri Perak akan membantu memasarkan produk mereka.

Selain itu, katanya beberapa hasil pertanian akan dijual oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA menerusi AgroBazar Online dalam beberapa pilihan atau combo serendah RM30 yang dihantar secara terus ke rumah pembeli dalam tempoh dua atau tiga hari selepas tarikh tempahan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )