Kerajaan diselar salurkan bantuan melalui parti PN, bukan JKM

Kerajaan diselar salurkan bantuan melalui parti PN, bukan JKM

IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak menyelar tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang membenarkan parti-parti Perikatan Nasional (PN) mengagihkan bakul makanan yang sepatutnya diedarkan oleh setiap 222 Ahli Parlimen.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, ini dibuktikan dengan tersebarnya gambar bakul makanan yang telah dilekatkan dengan logo Pas Kawasan Parit Buntar untuk agihan di parlimen Parit Buntar dan sebaran melalui whatsapp di parlimen Lumut yang menyatakan sebanyak 250 bakul makanan diedarkan melalui Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Lumut.

Jelas beliau, tindak tanduk ini bertentangan dengan makluman awal KPWKM yang menyatakan bakul makanan ini akan diagihkan oleh setiap ahli parlimen dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela dan Pertahanan Awam.

“Secara dasarnya, Pemuda AMANAH Negeri Perak berpendapat tindakan ini hanya bermotif politik yang mana menidakkan peranan ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat secara sah.

“Pemuda AMANAH Negeri Perak juga khuatir agihan tersebut akan hanya mengutamakan ahli-ahli parti PN semata-mata berbanding matlamat asal untuk membantu keluarga B40 yang terkesan ekoran COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata Ikhmal, menjelang Ramadhan yang bakal menjelma, Pemuda AMANAH Negeri Perak menggesa agar agihan bakul makanan ini kembali melibatkan semua ahli parlimen dalam memastikan tiada Keluarga B40 yang tercicir dari mendapat bantuan ini.

“Semoga Ramadhan kali ini dapat digunakan dengan sebaiknya dalam kita menyucikan hati dalam memberi khidmat yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kita juga menyeru agar tiada pihak yang cuba bermain politik dalam ketika penyakit COVID-19 masih belum menemui titik noktahnya,” tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )