PKP: Kes keganasan rumah tangga di Perak menurun

PKP: Kes keganasan rumah tangga di Perak menurun

IPOH: Kes keganasan rumah tangga di Perak menurun sebanyak 42.2 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kadar itu menunjukkan pengurangan sebanyak 38 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, jenayah kekerasan dan harta benda juga mencatatkan penurunan sebanyak 57.8 peratus.

“Berdasarkan statistik, kedua-dua jenayah ini menunjukkan penurunan sebanyak 340 kes iaitu 85 kes bagi jenayah kekerasan dan 255 jenayah harta benda.

“Bagi kes berkaitan jenayah komersial pula, sebanyak 219 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh PKP diadakan melibatkan kerugian lebih RM3.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 49 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Perak sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Daripada jumlah itu, 12 membabitkan kes suami mendera isteri manakala 11 lagi kes gaduh membabitkan anak dan selebihnya adalah adik-beradik serta anggota keluarga yang lain.

Razarudin berkata, rampasan dadah di Perak telah meningkat sejak PKP dikuatkuasakan iaitu lebih RM346,655 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kejayaan itu hasil 400 tangkapan yang dilakukan bagi tindakan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dan permintaan dadah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang tempoh PKP ini, seramai 2,225 orang di negeri ini telah diambil tindakan atas kesalahan ingkar PKP.

Katanya, dalam tempoh sama juga sebanyak 787 kertas siasatan dibuka dan 569 individu telah dituduh di mahkamah melibatkan 1,108 tangkapan.

“Semalam sahaja, seramai 30 orang telah ditangkap atas kesalahan ingkar PKP manakala 33 kertas siasatan dibuka melibatkan 73 tangkapan.

“Kesemua tangkapan kesalahan ini disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan kesalahan di bawah Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )