Perak laksana PKPB, tangguh operasi dua sektor

Perak laksana PKPB, tangguh operasi dua sektor

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan ekonomi yang diumumkan kerajaan dengan penangguhan operasi dua sektor iaitu makanan dan sukan rekreasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam.

“Sektor makanan adalah melibatkan restoran, warung, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, kenderaan saji, penjaja beredar dan tepi jalan.

“Semua jenis perniagaan makanan ini dibenarkan untuk beroperasi, namun hanya untuk tujuan bungkus dan penghantaran manakala makan di premis adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi sektor sukan dan rekreasi, kerajaan negeri masih menguatkuasakan larangan menjalankan aktiviti riadah di taman-taman rekreasi awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat ini.

“Kerajaan negeri menyokong aktiviti yang menjurus kepada amalan gaya hidup sihat, bagaimanapun sebarang aktiviti sukan dan rekreasi awam di Perak masih belum dibenarkan,” katanya.

Ahmad Suaidi turut mengumumkan pengoperasian semula pejabat-pejabat kerajaan di Perak bermula esok.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam berada dalam keadaan terbaik dan efektif, pejabat-pejabat kerajaan di negeri ini akan mula beroperasi mulai 4 Mei 2020 iaitu Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun data Perak menunjukkan tiada kes baharu dilaporkan atau didaftarkan untuk tempoh 15 hari berturut-turut, namun terdapat 15 mukim dan sub mukim yang masih belum bebas daripada kes dalam tempoh 28 hari iaitu dua tempoh inkubasi.

“Jawatankuasa amat memandang serius sektor-sektor yang berisiko tinggi terhadap penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Sehubungan itu, mesyuarat hari ini telah meneliti semua sektor perniagaan yang dibenarkan untuk dibuka semula berdasarkan SOP dibekalkan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )