Pemuda PH dedah perkara sebenar tentang Peja

Pemuda PH dedah perkara sebenar tentang Peja

PEMUDA Pakatan Harapan Negeri Perak memandang serius tuduhan yang dilemparkan Ketua Armada Bersatu Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam. Kami tidak mempunyai sebarang masalah terhadap apa juga keputusan yang diambil oleh mereka sama ada mahu kembali bersama Pakatan Harapan atau pun tidak.

2) Namun, apabila meletakkan punca dan faktor mereka tidak akan kembali kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mendakwa dikhianati parti komponen PH adalah satu penipuan dan tidak bersandarkan kepada fakta.

3) Kronologi peristiwa pengkhianatan sebenar adalah apabila Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersetuju keluar daripada PH dan membentuk kerajaan dengan menerima Pas dan Umno secara en-bloc. Perkara ini telah dinyatakan berulang kali malah kami juga terkejut dengan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertentangan dengan semangat menentang kleptokrasi yang diperjuangkan bersama.

4) Malah dakwaan mengatakan pimpinan PH daripada PKR DAP dan AMANAH mendesak Tun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH dengan mengambil ketetapan bahawa semua keputusan transisi jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Tun dan ini dilafazkan sendiri oleh Tun dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.

5) Keputusan PH mencalonkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas kerajaan PH terbubar dibuat selepas Tun tidak hadir dalam mesyuarat PH dan tiada sebarang maklum balas diberikan bagi membuat keputusan menamakan calon Perdana Menteri kepada istana. Ketetapan menamakan Tun semula sebagai Perdana Menteri dibuat selepas pihak istana memaklumkan tiada calon yang mendapat sokongan majoriti yang diperlukan dan selepas daripada itu Tun bersedia untuk berjumpa dengan pimpinan PH bagi mencapai satu keputusan bersama.

6) Perlu diingatkan juga, kegagalan Tun untuk menyertai PH dalam setiap perbincangan yang dibuat berpunca daripada tindakan sebahagian MPT yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat keputusan keluar daripada PH dan secara automatiknya kedudukan Tun sebagai Pengerusi PH turut gugur. Maka persoalannya, siapakah yang mengkhianati Tun sebenarnya sehinggakan pendirian Tun yang tetap mahu bersama PH tidak diendahkan oleh pimpinan Bersatu yang bersama Tan Sri Muhyidin Yassin?

7) Berkait isu terdapat perancangan yang dikatakan mahu menjatuhkan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu sebagai Menteri Besar Perak, DAP setelah berulang kali menafikan perkara tersebut datang daripada parti tersebut. Sebaliknya ia adalah perancangan terpencil oleh individu yang tidak punya kekuatan kerana ia tidak didokong oleh wakil rakyat PH Perak.

8) Sebaliknya, semasa kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, satu rakaman video telah tular mendedahkan bagaimana Dato’ Seri Ahmad Faizal telah secara jelas memburuk-burukkan parti rakan dalam PH malah dalam perbualan tersebut juga ada disebutkan secara perlahan perancangan Bersatu yang dirahsiakan. Insiden ini berlaku pada November 2019, tiga bulan lebih awal sebelum “Langkah Sheraton” berlaku. Tindakan itu sebenarnya telah menyebabkan ramai yang marah dan kecewa, namun PH Perak tidak mengambil perkara tersebut sebagai faktor untuk berpecah dan berkonflik dengan Ahmad Faizal.

9) Seperkara yang perlu dimaklumkan, sebelum kerajaan PH Perak ini tumbang, Ahmad Faizal juga telah mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa ADUN daripada PH untuk menyatakan perancangan dan mengajak ADUN tersebut bersama beliau menubuhkan kerajaan baru bersama Umno dan Pas. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan yang jelas membelakangkan mandat rakyat yang diberikan kepada PH. Armada Perak seharusnya bertanyakan hal ini kepada beliau untuk berlaku adil dalam membuat penilaian.

10) Dalam pada itu, PH Perak di bawah kepimpinan Ahmad Faizal pada ketika itu juga gagal mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan PH Perak untuk menyelesaikan masalah-masalah dalaman dan inilah antara punca kegagalan Ahmad Faizal dalam membendung sebarang krisis atau permasalahan yang berlaku di Perak. Malah tidak pernah berlaku sebarang perbincangan awal di dalam Majlis Pimpinan PH Perak berkaitan dasar, hala tuju, pelantikan dan perkara penting di dalam kerajaan, sebaliknya Ahmad Faizal menggunakan kuasanya dan pimpinan PH Perak tidak langsung memainkan isu tersebut untuk mencabar reputasinya. Walaupun kegagalan dapat dilihat ketara, pendirian PH Perak tetap menyokong penuh kepimpinan Ahmad Faizal meskipun terdapat banyak isu yang melibatkan kepimpinan dan pentadbiran beliau semasa bersama PH kerana keutamaan yang diberikan oleh pimpinan PH pada ketika itu adalah kestabilan.

11) Malah setiap kali sidang DUN diadakan, barisan ADUN PH kerap mengulangi pendirian dalam sidang media menyokong kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak bagi menangkis tohmahan pembangkang yang cuba mengganggu gugat kestabilan kerajaan Negeri Perak. Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak juga berlangsung dengan penuh harmoni dan tidak pernah berlaku sebarang konfrontasi terutama di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak. Kononnya beliau ditekan, keseorangan mempertahankan diri di dalam mesyuarat MMK seperti yang dikatakan oleh Ahmad Faizal sebelum ini merupakan satu kisah dongeng semata-mata dan ia boleh dibuktikan oleh minit mesyuarat dan ‘saksi hidup’ ahli mesyuarat yang lain. Sebaliknya Ahmad Faizal berkhidmat sebagai Menteri Besar dalam keadaan yang sangat selesa kerana barisan Exco sentiasa memberi sokongan dan kerjasama yang sangat baik.

12) Pemuda PH Perak akan tetap terus memperkasakan PH dan tidak mempunyai sebarang kerisauan atau keraguan sama ada Armada Perak ingin membuat pendirian untuk bersama PH mahupun tidak. Kami terbuka untuk berbincang dan sebagai pemimpin muda yang mendokong idealism pembaharuan politik, kami tidak meletakkan apa-apa syarat untuk mana-mana pihak datang berbincang untuk mendapatkan kepastian. Kami juga tidak mempunyai masalah tentang penerimaan dan kesatuan sesama Pakatan Harapan yang mendokong gabungan ini secara kolektif, tidak seperti Perikatan Nasional yang terumbang-ambing kedudukannya apabila ada daripada parti komponen tidak mengiktiraf gabungan tersebut.

13) Segala keputusan berkenaan dengan hala tuju dan keanggotaan Pakatan Harapan kami serah kepada kebijaksanaan Majlis Presiden Pakatan Harapan. Yang penting adalah nasib rakyat Perak dan Malaysia yang jelas tidak dapat dibela oleh Perikatan Nasional.

14) Pakatan Harapan Perak akan terus berkhidmat kepada rakyat biarpun mandat yang diberikan oleh rakyat itu telah dirampas secara tidak demokratik. Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, PH Perak tetap akur dan mengambil sikap berjiwa menghadapi suasana politik ini. Kami akan terus bekerja untuk rakyat walau dalam apa jua keadaan!

KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak

CHAW KAM FOON
Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Negeri Perak

MOHAMAD HAIRUL AMIR SABRI
Ketua Angkatan Muda KeAdilan (AMK) Negeri Perak

____________________________

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Perak Insights

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] Berita penuh : https://perakinsights.com/2020/05/09/pemuda-ph-dedah-perkara-sebenar-tentang-peja/ […]

  • Disqus ( )