Sultan Perak sebak, zahir penghargaan kepada ‘frontliners’

Sultan Perak sebak, zahir penghargaan kepada ‘frontliners’

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menghadapi risiko wabak COVID-19.

Perak Today melaporkan, ketika membacakan titah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Tahun Ke-3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini, nada Baginda sedikit serak seolah-olah menahan sebak.

Baginda kemudian menitahkan agar kesemua yang hadir supaya berdiri dan memberikan tepukan tangan yang berlangsung beberapa saat sebagai tanda apresiasi buat mereka yang berada di barisan hadapan dalam menangani ancaman COVID-19.

Terdahulu titah Baginda, walaupun prasarana perubatan sektor awam agak terbatas namun KKM berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai barisan petugas yang berpengalaman, berdedikasi serta komited menyempurnakan amanah masing-masing.

Titahnya lagi, dengan izin Tuhan, mereka juga berjaya dalam menyembuhkan para pesakit serta meminimumkan angka kes kematian dan jangkitan COVID-19 dalam negara.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak COVI-19.

“Antaranya warga kerja Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah, serta para penjawat awam

“Begitu juga penghargaan sama kepada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan badan-badan media yang berperanan penting menyampaikan maklumat serta nasihat melalui berita kepada orang ramai,” titah Sultan Perak.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )