Sultan Perak zahir penghargaan dan terima kasih kepada Exco-Exco Pakatan Harapan

Sultan Perak zahir penghargaan dan terima kasih kepada Exco-Exco Pakatan Harapan

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli Dewan yang mewakili Pakatan Harapan.

Titahnya, mereka masing-masing telah berusaha sedaya mungkin memberikan khidmat terbaik selama tempoh 22 bulan menjunjung amanah Beta dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat.

Sultan Nazrin bertitah, persidangan Dun kali ini menyaksikan perubahan susunan tempat duduk sebahagian besar ahli-ahli Dewan.

Titahnya, susulan berlakunya polemik politik pada awal tahun ini, kerajaan yang mendapat perkenan Tuanku yang dibentuk pasca PRU14 telah kehilangan majoriti.

“ADUN Chenderiang yang telah Beta perkenan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, telah menyembahkan warkah peletakan jawatan pada 10 Mac 2020.

“Perkenan Beta menerima peletakan jawatan Ahli Dewan Negeri Chenderiang sebagai Menteri Besar, mengakibatkan Kerajaan yang Beta perkenan dibentuk pada 12 Mei 2018, dengan sendirinya bubar,” titahnya.

Baginda bertitah ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Yang Keempat Belas Perak Darul Ridzuan, disini hari ini.

Tuanku turut bertitah agar kerajaan yang telah diperkenankan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh jujur dan ikhlas, berteraskan undang-undang serta berlandaskan perlembagaan.

“Kepercayaan Beta yang mahukan sebuah pentadbiran yang amanah
dan berintegriti hendaklah senantiasa dijunjung, harapan rakyat yang mahukan barisan pemimpin yang bersih dan tidak menyalahgunakan kuasa, wajib dipenuhi.

“Berpada-padalah berpolitik, berpolitik biar ada sempadannya, kebajikan rakyat jangan dikorbankan dan masa hadapan negeri jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, kerana percaturan politik yang keterlaluan, atau kerana dorongan sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri, bagaikan tidak mengenal batasan,” titah Tuanku.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (6)
Disqus ( )