Terlalu sakit bahagian belakang dan perut mengembung, Ustaz Kazim dikejar ke hospital

Terlalu sakit bahagian belakang dan perut mengembung, Ustaz Kazim dikejar ke hospital

KUALA LUMPUR: Penceramah yang juga pemilik maahad tahfiz Al Barakah di Ipoh, Datuk Mohd Kazim Elias ketika ini berada dalam keadaan kurang sihat.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim itu dikatakan sakit pada bahagian belakang dan perut mengembung.

Pembantu peribadinya memberitahu, Ustaz Kazim dibawa ke unit kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh 2.30 petang semalam untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Ustaz sekarang sakit dan kurang sihat. Jadi, kami membawanya ke hospital semalam dan ustaz sudah dibenarkan pulang ke rumah.

“Selepas balik ke rumah ustaz mengadu masih lagi berasa sakit pada bahagian belakang dan perutnya juga mengembung,” dipetik dari Harian Metro.

Menurutnya, doktor yang membuat pemeriksaan sudah memberikan ubat dan memaklumkan bahawa keadaan kesihatan Ustaz Kazim dalam keadaan baik.

“Kami membawanya juga ke hospital semalam kerana bimbang ada batu karang, tetapi doktor kata tiada dan semuanya elok.

“Tetapi yang kami hairan ustaz tetap mengadu berasa terlalu sakit pada bahagian belakang,” ujarnya.

Katanya, tahap kesihatan penceramah yang mengisi program Kalau Dah Jodoh di saluran Astro Oasis itu akan pihaknya maklumkan kepada semua dari semasa ke semasa.

Malam tadi, Ustaz Kazim dalam laman Facebook miliknya memberitahu tahap kesihatannya yang agak merosot mutakhir ini.

“Terima kasih kepada semua sahabat yang bagi nasihat dan petua. InsyaAllah saya cuba amalkan.

“Harap-harap boleh tidurlah. Kalau tak, baring salah, duduk salah, (me)ngiring salah.. semua salah… insyaAllah malam ni harap-harap betul la..,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )