Tiga lagi ADUN Umno dilantik Exco Kerajaan Perak

Tiga lagi ADUN Umno dilantik Exco Kerajaan Perak

IPOH: Tiga orang lagi ADUN Umno telah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak sekaligus melengkapkan 10 Exco kerajaan negeri yang telah dilantik.

Pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan disempurnakan secara ringkas dalam Kamar Diraja Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebelum Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 disempurnakan baginda.

Sinar Harian melaporkan, ke semua Exco kerajaan negeri yang baharu itu merupakan wakil rakyat daripada UMNO iaitu ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Ketiga-tiga Exco kerajaan negeri yang baharu dilantik itu hampir pasti akan mengisi tiga portfolio yang masih dikosongkan iaitu Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan; Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia.

Pada 31 Mac lalu, seramai tujuh ADUN dilantik sebagai Exco kerajaan negeri iaitu tiga daripada UMNO, dua daripada Pas dan dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka yang dilantik sebelum ini ialah ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad yang memegang portfolio Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna; ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria sebagai Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan).

Turut dilantik sebagai Exco, ADUN Rungkup, Datuk Sharul Zaman Yahya yang memegang portfolio Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor); ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri (Exco Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air); ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin (Exco Agama Islam dan Penerangan) serta ADUN Kampung Gajah, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )