Anak tiri Najib ‘lepas tanpa bebas’ kes pengubahan wang haram

Anak tiri Najib ‘lepas tanpa bebas’ kes pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dibenarkan lepas tanpa dibebaskan dari tuduhan oleh Mahkamah Sesyen sebentar tadi.

Riza Aziz yang dituduh dengan lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), dilepaskan oleh Hakim Azman Ahmad.

Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures didakwa melakukan kesalahan itu berhubung wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan dana 1MDB.

Hakim membenarkan permohonan itu selepas pendakwaraya ad hoc, Gopal Sri Ram beritahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian dipihaknya.

“Suatu persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh yang mana terma-termanya adalah kerajaan persekutuan akan terima sejumlah wang yang banyak mencecah beberapa juta ringgit,” katanya, membaca kenyataan yang disediakan.

Sri Ram berkata jumlah itu secara langsung merujuk kepada isi pertuduhan.

Dengan persetujuan ini, katanya, pertuduhan terhadap Riza tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu perjanjian selesai.

“Pihak pendakwaan, dengan persetujuan tertuduh, memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk melepaskan tanpa membebaskan,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )