Malaysia bakal terima semula aset hasil persetujuan lepas anak tiri Najib

Malaysia bakal terima semula aset hasil persetujuan lepas anak tiri Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menerima semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) hasil persetujuan dicapai di antara pihak pendakwaan dan Riza Shahriz Aziz berhubung pertuduhan ke atas anak Rosmah Mansor itu.

Riza sebelum ini menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB. Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pagi tadi penerbit filem dan pengerusi Red Granite Pictures itu dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah. Syarikat berkenaan dikenali ramai selepas menghasilkan filem The Wolf of Wall Street dan mendapat sentuhan pengarah terkenal, Martin Scorsese.

Menurut laporan Malaysiakini, ia menampilkan sejumlah pelakon kategori A Hollywood termasuk Leonardo DiCaprio, Jonah Hill dan Matthew McConaughey. Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pernah menggelar The Wolf of Wall Street sebagai filem lucah.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Riza itu dibuat pada 5 Julai 2019.

“SPRM dimaklumkan ia merupakan pelepasan bersyarat, iaitu pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai,” katanya.

Dalam persetujuan itu juga, kata SPRM, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan seperti dibenarkan Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Kata agensi antirasuah tersebut, kompaun yang dikenakan adalah bersifat punitif (menghukum) sebagai alternatif kepada pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )