Cubaan curi hasil hutan di Perak semasa tempoh  PKPB

Cubaan curi hasil hutan di Perak semasa tempoh PKPB

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak mengesan cubaan satu sindiket untuk mencuri hasil hutan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid-19.

Ini ekoran penemuan 23 batang kayu yang telah ditukar bentuk dengan saiz tertentu di kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan negeri, kayu-kayu berkenaan ditemukan ketika rondaan rutin oleh anggota Pasukan Penguatkuasaan jabatan itu pada pukul 5 petang.

Menurutnya, longgokan kayu berkenaan ditemukan ditutup dengan pelepah daun bagi menggaburi mata pihak penguatkuasa.

Kata kenyataan itu, berdasarkan pemerhatian di kawasan kejadian, aktiviti itu mempunyai modus operandi yang hampir sama dengan kes tebangan pokok tanpa kebenaran dan sitaan kayu sedia pelbagai saiz yang dilaporkan sebelum ini di Hutan Simpan Piah, Kuala Kangsar.

“Sindiket ini dipercayai akan memindahkan keluar kayu berkenaan dalam masa terdekat walaupun tempoh (PKPB) masih berkuatkuasa.

“Pasukan menemukan kayu yang ditukar bentuk sebanyak 23 batang berukuran 6.4 meter panjang, lapan sentimeter lebar dan tujuh sentimeter tinggi.

“Setelah menunggu hampir dua jam di kawasan kejadian, tiada sebarang jentera atau individu yang disyaki ditahan semasa pasukan menjalankan intipan.

“Oleh itu, semua kayu tersebut telah disita dan dibawa ke Stor Rampasan Hulu Perak untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat jabatan,” katanya, lapor Perak Gazette.

Menurut kenyataan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lenggong.
berhubung penemuan tersebut.

Tambahan kenyataan itu, pihaknya menjangkakan akan berlaku kejadian atau cubaan mencuri hasil hutan yang lebih kerap ekoran sambutan Hari Raya Puasa dan kemelesetan ekonomi semasa tempoh PKPB.

Sehubungan itu, pihaknya akan menggerakkan semua anggota penguatkuasa dan kakitangan untuk membendung kegiatan mencuri hasil hutan ini dari terus berlaku.

“Jabatan ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa Jabatan akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh PKPB,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )