Harga barang basah naik sekali ganda

Harga barang basah naik sekali ganda

KOTA BHARU: Harga barangan basah seperti ayam dan sayuran di negeri ini dikesan naik sekali ganda menjelang Aidilfitiri.

Tinjauan ke beberapa pasar basah dan kedai mendapati, harga ayam yang dahulunya berharga RM3 sekilogram kini naik sehingga lebih RM7 sekilogram.

Bahan mentah lain seperti santan, sayuran juga lebih mahal berbanding biasa, namun ikan segar masih dijual pada harga biasa.

Peniaga makanan, Mohd Khairul Syafarie Mohd Johari,39 berkata peningkatan harga mula berlaku sejak minggu lalu.

Katanya, jika sebelum ini dia memperuntukkan RM2,000 hingga RM3,000 sehari untuk modal bahan mentah bagi membuat 60 jenis lauk pauk dan kuih di kedainya, kini harga itu meningkat sekali ganda.

Katanya, paling terkesan harga mendadak naik bagi ayam yang menjadi menu ayam golek kedainya selain sayuran seperti lada dan sayuran hijau.

“Dulu harga murah sebab permintaan kurang, jadi peniaga dan pembekal semua turunkan harga, tapi sekarang bila orang dan boleh keluar dan dekat raya pula, memang mendadak naik harga barang.

“Kalau diikutkan semua barang basah naik harga dan saya jangka akan terus naik menjelang raya kerana itulah situasi yang dihadapi setiap tahun,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kok Lanas, di sini.

Bagi Manisah Mat Jusoh, 32 dia sebagai ibu tunggal tiga anak berusia antara tiga hingga satu tahun memang terkesan dengan kenaikan harga barang beberapa hari lalu.

Katanya, sangat terkesan terutama harga bahan keperluan dapur dan ayam yang perlu dibeli setiap hari sebagai juadah berbuka dia dan anak-anak.

“Sebabkan bahan harian naik, saya hanya buat persiapan ala kadar sahaja raya tahun ini, itupun hanya beli baju raya anak-anak dulu sebab duit selebihnya kena simpan untuk keperluan makanan,” katanya.

Katanya, dia kini hanya bergantung pada perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan untuk menampung hidup selepas kematian suami sembilan bulan lalu.

Peniaga Ikan, Mohd Ellias Mohd Nawi, 35, berkata walaupun barangan keperluan lain naik harga, ikan masih berada di tahap sama kerana bekalannya lebih daripada mencukupi sehingga raya ini.

Katanya, dia sendiri sudah membuat bekalan yang cukup untuk lebih 20 jenis ikan dan aneka makanan laut seperti udang, sotong dan ketam yang dijual di pasar basah miliknya yang sudah beroperasi sejak enam tahun lalu.

“Kita dah faham situasi setiap kali musim perayaan, jadi kita terus sediakan bekalan yang cukup supaya kita tak perlu naikkan harga kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memaparkan operasi pemantauan di 10 pasar raya di negeri ini bagi 62 barangan keperluan asas.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )