Ayam naik lima kali sepanjang Ramadan

Ayam naik lima kali sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR: Peniaga ayam mendakwa harga ayam di Kuantan dijangka meningkat 50 sen dalam waktu terdekat, kepada RM9.50 hingga RM10 sekilogram.

Untuk rekod, sebelum ini, harga ayam di Kuantan dijual sekitar RM7.50 sekilogram.

Peniaga mendakwa, kenaikan ini bermula sejak dua minggu lalu di peringkat ladang menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan.

Tinjauan di beberapa pasar di Kuantan mendapati, harga ayam sekitar RM9 hingga RM9.50 sekilogram.

Peniaga, Ahmad Sulaiman, 56, berkata, sebagai penjual, mereka tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga ayam bagi mengelak berlaku kerugian.

“Harga ayam sudah lima kali naik sepanjang Ramadan kali ini, ia berlaku disebabkan pembekal utama menaikkan harga dengan pelbagai alasan.

“Harga ayam daripada pembekal dijual sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram, saya terpaksa jual RM9,” katanya yang berniaga di Pasar Besar Kuantan, lapor Harian Metro.

Jelasnya, sejak berlaku kenaikan harga ayam, dia terpaksa mengehadkan jualan antara 30 hingga 40 ayam sehari, sebelum ini lebih 100 sehari.

Ahmad berkata, ramai merungut dan ada juga yang faham.

Katanya, sebagai peniaga, dia tidak boleh melakukan apa-apa kerana harga ayam di peringkat ladang mahal.

“Ini yang terpaksa kita terima setiap kali musim perayaan, semua harga barang basah naik hingga memaksa kerajaan menguatkuasa harga kawalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang Ahmad Fitri Ali berkata, buat masa ini pihaknya belum memutuskan senarai barangan kawalan, harga dan tempoh kawalan.

“Jika peniaga menaikkan harga dengan sengaja atau tanpa alasan munasabah, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )