Selepas rakyat rayu dan desak, kerajaan siasat punca harga ayam naik

Selepas rakyat rayu dan desak, kerajaan siasat punca harga ayam naik

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat kenaikan harga ayam yang didakwa berlaku sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata pegawai kementerian sudah diarah menyiasat perkara itu yang turut didakwa berlaku di Terengganu.

“Saya terima banyak laporan melalui mesej dan Facebook yang merayu serta mendesak supaya perkara itu (kenaikan harga ayam) diadakan siasatan.

“Untuk itu, kita telah arahkan pegawai untuk menyiasat di lapangan,” katanya BH Online.

Memberi contoh, Rosol berkata, ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sehingga RM 9.60 sekilogram dan ia dianggap melampau.

“Mungkin mereka (peniaga) dapat agak kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Maksimum (SKHM). Jadi, sebelum SKHM diumumkan, mereka cuba naikkan harga dan ini adalah satu kesalahan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan untuk menindas pelanggan dan saya berharap ia tidak berterusan,” katanya.

Rosol menegur sikap tamak dan tidak beretika segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga ayam, terutamanya menjelang Aidilfitri.

“Bagi saya, bekalan ayam melebihi dari sepatutnya. Namun, peniaga melihat ia (menaikkan harga) sebagai peluang untuk mengaut keuntungan.

“Ini sepatutnya tidak berlaku, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana rakyat sedang susah,” katanya.

Rosol berkata, beliau mendapat lima aduan secara peribadi di Terengganu mengenai kenaikan harga ayam.

“Saya minta pihak terbabit memberi maklumat kepada saya dan saya akan salurkan kepada pegawai untuk menyiasat perkara itu,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )