Anak muda ‘sekolahkan’ Presiden Pas perjelas peranan Parlimen

Anak muda ‘sekolahkan’ Presiden Pas perjelas peranan Parlimen

Seorang anak muda mengkritik penulisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini yang dimuatkan dalam ruangan khas “Minda Presiden Pas” di laman portal berita rasmi parti itu, Harakahdaily.

Pengasas Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), Hazman Baharom berpendapat keseluruhan artikel itu hanya tertumpu pada kewajaran sidang Parlimen baru-baru ini yang hanya mendengar Titah Yang di-Pertuan Agong lantaran wabak Covid-19.

Hazman, 28, yang juga pengarang buku Renungan Kemasyarakatan menyifatkan wujud risiko besar apabila Parlimen gagal digunakan sebagai ruang untuk semak dan imbang.

Reaksi beliau kemudiannya tular dan menerima banyak perkongsian di media sosial apabila rata-rata warganet membandingkan pandangan Hazman yang dianggap jauh lebih matang berbanding Abdul Hadi yang bakal menginjak usia 73 tahun pada 20 Oktober tahun ini.

Ikuti kritikan Hazman yang mulanya dimuatkan dalam Facebook beliau terhadap tulisan Hadi Awang yang bertajuk ‘Covid-19: Mengapa Parlimen ringkas pun tidak boleh?’:

Keseluruhan artikel berpusatkan satu fokus sahaja: wabak Covid-19 merupakan sesuatu yang bahaya, disebabkan itu sidang Parlimen perlu dipendekkan (dan seperti yang telah kita lihat, tanpa adanya perbahasan).

Dari situ didatangkan banyak bukti dari sejarah, ayat al-Quran, dan hadis. Kemudian, andaian yang digunapakai beliau ialah “kerajaan lebih tahu, rakyat tidak berapa tahu.” Sebab itulah ada dipetik hadis tentang tebuk lantai kapal itu.

Artikel ini tidak meneliti langsung fungsi Parlimen dalam sistem kenegaraan kita. Saya fikir penulisnya sengaja tidak mahu sentuh bab itu.

Fungsi Parlimen yang paling utama adalah untuk menjadi arena semak dan imbang terhadap keputusan kerajaan, dan seperti yang kita semua tahu, belum ada satu pun perbahasan Parlimen sejak PN menjadi kerajaan baharu.

Tanpa semak dan imbang, terlalu banyak masalah yang boleh timbul, khususnya di pihak kerajaan. Segala dasar kerajaan tidak boleh dipersoalkan secara absah. Ada risiko besar di situ untuk penyalahgunaan kuasa, pembaziran hasil-mahsul negara, dan kesilapan dalam tadbir urus.

Memang sistem kenegaraan berpaksikan Parlimen ini tidak wujud seperti yang kita ada kini sepanjang sejarah awal Islam, tetapi jangan kita lupa, semangat yang mendasari Parlimen telah lama dipraktikkan oleh tokoh-tokoh terdahulu seperti Umar dengan majlis enam orangnya.

Atas sebab itulah pemikir kontemporari seperti Louay Safi, al-Qaradawi, Jasser Auda, Kaled Abou El-Fadl, dan lain-lain melihat demokrasi berparlimen sebagai sesuatu yang mampu mencapai aspirasi konsep “syura” seperti yang diwajibkan Islam ke atas pemerintah.

Mereka yang mendesak untuk diadakan perbahasan Parlimen tidak menolak pentingnya sikap berjaga-jaga ketika wabak. Artikel Abdul Hadi ini seolah-olah mahu meletakkan pertentangan bersifat Manichean, iaitu “kalau sokong ada perbahasan sekarang, maka tidak berwaspada dengan wabak” dan sebaliknya.

Hakikatnya bukan begitu. Ada banyak cara boleh dilakukan untuk memastikan proses perbahasan berlaku seperti yang telah banyak ditunjukkan oleh negara lain, seperti melalui konferens atas talian.

Jika mahu merujuk kaedah fiqh, bukankah ada kaedah “al-mashaqqah tajlib al-taysir” (kesukaran membuka jalan kepada cara yang mudah)? Dengan segala halangan untuk bersidang di Parlimen tetapi aspirasi Parlimen dan konsep syura perlu juga dijalankan, maka kerajaan bertanggungjawab mencari jalan untuk sidang perbahasan dijalankan juga, walaupun bukan secara bersemuka.

Memang banyak perkara ditangguhkan oleh para sahabat Nabi dan tokoh Islam sepanjang wabak berlangsung, seperti contoh Umar yang disebut dalam artikel. Apabila kita melihat sejarah, kita harus melihat konteksnya juga.

Zaman mereka, ilmu perubatan belum semaju hari ini, bahkan ilmu penyakit berjangkit juga masih belum difahami dengan jelas sehinggalah zaman Ibn Sina. Pada masa itu juga, mereka tidak punyai sarana lain untuk melakukan perkara-perkara yang ditangguhkan itu.

Pada masa kini, kita punyai terlalu banyak cara untuk bersidang, dan wabak tidak boleh lagi menjadi alasan. Apa sudah jadi kepada hadis “antum a’lamu bi umur dunyakum” (kamu lebih mengetahui urusan duniamu)?

Wang negara ialah wang rakyat. Kita semua faham hakikat itu. Sepanjang wabak Covid-19 menular, tidak ada satu pun lagi peluang untuk kerajaan baharu dipertanggungjawabkan atas segala tindakannya sepanjang wabak.

Dengan pernyataan ini, saya tidak memaksudkan tindakan kerajaan sebagai tidak betul (malah sebenarnya, Malaysia memiliki respons terhadap Covid-19 antara yang terbaik di dunia), namun sikap tanggungjawab di pihak kerajaan di depan rakyat itulah yang menjadi pertikaian saya.

Dalam sistem kenegaraan kita, Parlimenlah satu-satunya ruang yang absah untuk segala dasar dan tindakan kerajaan dipersoalkan, diperhalusi, dikritik, dan diperbaiki.

Jika kerajaan menjadikan wabak sebagai alasan walaupun terdapat banyak sarana lain yang boleh digunapakai, kerajaan seolah-olah sedang bersikap sambil lewa dengan tanggung jawabnya kepada rakyat.

Tiada siapa yang beriman dengan demokrasi dan berkiblatkan White House. Demokrasi bukan agama. Dan kita semua tahu, ada banyak masalah besar dengan sistem pentadbiran Amerika. Kita juga tahu, sistem kita berbeza dengan mereka.

* Penulis merupakan graduan Ekonomi dan Pengajian Sosial Universiti Manchester, United Kingdom.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )