Perkemas persefahaman, Pemuda PH Perak jadi mata dan telinga rakyat

Perkemas persefahaman, Pemuda PH Perak jadi mata dan telinga rakyat

IPOH: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak bertekad untuk segera memperkukuhkan posisi parti masing-masing dalam gabungan politik itu bagi berhadapan cabaran politik semasa.

Kepimpinan Pemuda ketiga-tiga parti itu percaya bahawa kekuatan PH terletak pada kebijaksanaan kepimpinan di semua peringkat bagi memperkemas kepimpinan parti di setiap peringkat dalam menghadapi sebarang kemungkinan dinamika politik semasa tanah air.

“Kami juga bersetuju untuk terus mempertingkatkan persefahaman bersama berteraskan kepada kejujuran dan keikhlasan idealisme politik baharu yang mementingkan soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam menghadapi kesan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia,” kata mereka.

Justeru, Pemuda PH negeri akan memainkan peranan semaksimum mungkin sebagai mata dan telinga rakyat dalam memastikan setiap dasar dan polisi kerajaan diteliti melalui proses semak dan imbang.

Hal tersebut dilakukan, ujar mereka, sama ada dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau forum awam yang bersifat konstruktif sebagai pembangkang di Perak.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka turut sepakat untuk mempersiapkan jentera pilihan raya di setiap kawasan sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Ketua Pemuda AMANAH, Pemuda DAP (DAPSY) dan Angkatan Muda KeAdilan (AMK) negeri berkata, usaha berkenaan bagi memastikan pilihan raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa dapat diwakili oleh calon-calon yang berwibawa bagi memastikan mandat kembali diberikan kepada PH.

“Kesepakatan ini akan diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja yang lebih tersusun di peringkat akar umbi untuk membawa mesej kepada rakyat bahawa PH mampu memberikan khidmat yang cemerlang kepada rakyat berdasarkan kepada rekod dan pencapaian yang dicatatkan dalam tempoh 22 bulan PH memerintah,” tegas mereka.

Pemuda AMANAH Perak diterajui Khairol Najib Hashim manakala Chaw Kam Foon mengetuai DAPSY dan Mohamad Hairul Amir Sabri merupakan Ketua AMK negeri.

Sehubungan itu, Pemuda PH Perak menyeru kepada semua pendukung dan penyokong PH agar merapatkan saf membina semula kekuatan dan terus maju untuk kembali merealisasikan Harapan Malaysia.

Untuk rekod, Perak muncul negeri ketiga tumbangnya kerajaan PH selepas Johor dan Melaka apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, 9 Mac lalu mengumumkan PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Pada masa ini PH Perak mempunyai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu AMANAH (5), DAP (16) dan PKR (3).

Sementara itu, Umno mendominasi PN dengan 25 ADUN diikuti Bersatu (4) serta Pas dan Bebas masing-masing tiga ADUN.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )