Tiga beradik nyaris rentung, rumah didiami musnah terbakar

Tiga beradik nyaris rentung, rumah didiami musnah terbakar

PARIT BUNTAR: Tindakan berani seorang bapa saudara berjaya menyelamatkan nyawa tiga beradik daripada rentung apabila rumah didiami mereka terbakar dalam kejadian di Sungai Labu Bawah, Tanjung Piandang di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.15 pagi itu disedari Osman Awee yang tidur di ruang tamu rumah dan dia terjaga berikutan terhidu bau asap.

Osman, 44, berkata, dia kemudian terdengar suara jeritan anak saudara perempuan, Nur Amira Najwa Abd Jalil, 15, yang sedang tidur di salah sebuah bilik tingkat atas rumah.

“Sebaik dengar jeritan itu saya lantas menaiki tingkat atas dan terkedu melihat api mula membakar biliknya. Tanpa berfikir panjang saya lantas naik ke atas dan menyelamatkannya yang masih berada dalam keadaan ketakutan di dalam bilik itu.

“Selepas itu saya segera mendapatkan dua lagi anak saudara iaitu Muhammad Danish Iskandar, 17, dan Muhammad Syafiq, 16, yang tidur lena di bilik sebelah dan terus membawa mereka keluar dari rumah yang sedang terbakar melalui pintu belakang,” katanya ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parit Buntar, Md Nayan Salleh.

Menurut Osman, dia bersama tiga anak saudara hanya berputih mata melihat kejadian itu tanpa sempat berbuat apa-apa sehinggalah kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba sekitar 6.00 pagi tadi.

“Sewaktu kejadian ibu mereka iaitu kakak saya sedang berkerja. Susulan kejadian ini kami kini tinggal sehelai sepinggang dan kini menumpang sementara di sebuah rumah sewa di sini yang dibiayai oleh pihak Baitulmal.

“Kejadian ini memberikan kesan mendalam pada kami sekeluarga berikutan ianya berlaku sewaktu kita sedang menyambut perayaan,” katanya, lapor Perak Gazette.

Dalam pada itu Md Nayan yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian berkata, terdahulu Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri telah hadir bersama beberapa pihak berkaitan dan telah menyampaikam bantuan awal iaitu bantuan Tabung Bencana Daerah berjumlah RM2,000 kepada mangsa.

“Kami difahamkan kerajaan negeri juga akan membantu mendapatkan sebuah kediaman baru kepada keluarga ini di Bagan Tiang.

“Keprihatinan pihak kerajaan amat kami hargai manakala dari pihak Bersatu pula kami akan cuba mendapatkan bantuan dari sudut lain seperti kelengkapan dapur dan sebagainya sepanjang menduduki rumah sewa itu,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan awal berbentuk wang tunai kepada mangsa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mangsa boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Osman iaitu 08235-29-00007159-1 atau hubungi talian 014-257 4277.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )